Wabak virus Nipah: Lapangan terbang Asia berjaga-jaga

Thailand, Nepal dan Taiwan tingkatkan pemeriksaan ketat seperti era Covid-19

Virus merebak kepada manusia sesama manusia berpunca daripada haiwan seperti kelawar dan babi.
- Advertisement -

KOLKATA, INDIA: Lapangan terbang di beberapa negara Asia telah memperkenalkan semula pemeriksaan kesihatan ketat mirip ketika pandemik Covid-19 susulan laporan kes virus Nipah di India daripada merebak melalui pelancong.

Thailand, Nepal dan Taiwan telah meningkatkan saringan dan pengawasan penumpang selepas pengesanan jangkitan di Bengal Barat.

- Advertisement -

Di Thailand, phak berkuasa kesihatan negara itu sedang memantau penumpang dari Bengal Barat di lapangan terbang Suvarnabhumi, Don Mueang dan Phuket, menggunakan pemeriksaan demam, saringan gejala dan kad nasihat kesihatan.

Langkah-langkah kawalan penyakit juga telah dipertingkatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket.

Saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan Nepal dan sempadan darat utama dengan India pula telah dipergiatkan, dengan meja kesihatan telah ditubuhkan untuk menguruskan kes yang disyaki.

Sementara di Taiwan, pihak berkuasa merancang untuk mengklasifikasikan Nipah sebagai penyakit yang boleh dilaporkan Kategori 5, tahap tertinggi untuk jangkitan baru muncul, yang memerlukan pelaporan segera dan langkah kawalan ketat; dengan amaran perjalanan ‘kuning’ Tahap 2 masih berkuat kuasa untuk Kerala.

Apa yang perlu diketahui oleh pelancong ialah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan Nipah sebagai patogen keutamaan kerana potensi wabaknya dan kadar kematian yang tinggi.

Nipah ialah virus zoonotik yang merebak daripada haiwan seperti kelawar dan babi kepada manusia dan juga boleh merebak melalui sentuhan rapat antara manusia.

Simptom awalnya terdiri daripada demam, sakit kepala, sakit otot, muntah dan sakit tekak kepada sesak nafas yang teruk atau ensefalitis yang membawa maut dalam kes yang melampau.

Jangkitan teruk boleh menyebabkan masalah pernafasan, pneumonia, atau keradangan otak yang membawa maut.

Walaupun risiko keseluruhan kepada pelancong adalah rendah, pakar kesihatan menekankan kepentingan pengesanan awal, pengesanan kontak, dan penjagaan sokongan.

Pemeriksaan lapangan terbang, termasuk pemeriksaan suhu, mungkin dijalankan, dengan kuarantin terutamanya untuk kontak rapat. Risiko umum kepada pelancong kekal rendah.

Mereka yang pulang dari India, terutamanya dari Kerala dan Bengal Barat, harus mematuhi pemeriksaan lapangan terbang, memerhatikan gejala, dan melaporkan sebarang penyakit dengan segera.

Tempoh kuarantin untuk Nipah adalah 21 hari, terutamanya yang melibatkan kontak rapat seperti ahli keluarga atau kakitangan hospital.

Sementara menurut laporan media India, pihak berkuasa negara itu telah mengesahkan bahawa keadaan telah terkawal, dengan hanya sebilangan kecil kes yang dilaporkan.

Presiden AIIMS Bilaspur, Dr Narendra Kumar Arora dalam satu kenyataan berkata, Kerala dan Bengal Barat telah dikategori dan dilabelkan sebagai ‘wilayah endemik’.

Beliau menyatakan virus itu mempunyai kadar kematian yang tinggi iaitu 40 hingga 75 peratus dan tiada vaksin yang tersedia pada masa ini.

“Antibodi monoklonal sedang diperoleh untuk rawatan, tetapi bekalan global adalah terhad,” jelasnya.

Terdahulu, wabak virus Nipas di Bengal Barat pertama kali dikesan dalam kalangan lima petugas kesihatan termasuk dua jururawat dengan seorang daripadanya kini koma, dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk 100 hingga 200 kontak berpotensi turut dijangkiti.

Bekas penasihat kesihatan Bengal Barat, Dr Sayan Chakraborty pula menjelaskan bahawa hanya dua kes yang disahkan telah dilaporkan di Barasat, berhampiran Kolkata.

“Kes yang disyaki diuji negatif dan telah dibenarkan keluar,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2026

- Advertisement -