‘Dosa rasuah tak hilang walau umrah banyak kali pun’

Kerosakan rasuah berlaku dari atas sampai bawah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong yang disifatkan berterus-terang dalam menegur kelemahan pentadbiran negara, khususnya kegagalan mencegah kemungkaran rasuah semakin membarah.

Presiden PAS itu berkata, kelemahan berkenaan berpunca daripada kegagalan manusia dalam melaksanakan tanggungjawab, selaras peringatan Allah SWT dalam Surah al-Asr mengenai kerugian manusia kecuali yang beriman, beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.
 
Beliau berkata, terdapat tiga aspek utama yang ditekankan al-Quran, iaitu iman dan akidah, amal soleh serta kewajipan saling berpesan dan menasihati dalam membentuk masyarakat madani berlandaskan iman.
 
Menurutnya, nasihat yang berlaku ketika ini tidak menyeluruh, sedangkan Rasulullah SAW menegaskan bahawa agama itu adalah nasihat, merangkumi kewajipan kepada Allah dan Rasul, pemimpin serta masyarakat umum.
 
“Sekarang raja telah berterus-terang menasihati kerajaan dalam masalah kemungkaran besar yang berlaku dalam negara kita iaitu rasuah, satu dosa yang sangat besar dalam Islam,” ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
 
Tuan Guru turut merujuk Surah al-Baqarah ayat 188 yang melarang perbuatan memakan harta orang lain dengan cara yang salah, termasuk melalui sogokan kepada pihak berkuasa.
 
Beliau menyifatkan keadaan rasuah yang berlaku hari ini sebagai rosak dari atas hingga ke bawah, sambil mengingatkan bahawa Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang tengah.
 
Katanya, tindakan yang diambil ketika ini hanya tertumpu kepada penerima rasuah, manakala pemberi dan orang tengah tidak dikenakan tindakan, sekali gus menyebabkan kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang.
 
Tuan Guru berkata, kegagalan menangani rasuah berpunca daripada tiga perkara utama iaitu kelemahan pembangunan insan, kelemahan undang-undang serta kepimpinan yang lemah.
 
Menurutnya, pembangunan insan perlu melibatkan pembinaan jasad, akal dan roh secara menyeluruh, merangkumi keperluan fizikal, ilmu serta iman dan kesedaran dosa dan pahala.
 
Beliau berkata, pembangunan tidak seimbang melahirkan nafsu yang tidak terkawal sehingga mendorong kepada kerakusan dan keinginan harta tanpa batas, sebagaimana digambarkan dalam hadis Nabi SAW dan peringatan dalam Surah at-Takathur.
 
“Nafsu yang melonjak ini menyebabkan rakus. Tak kira melibatkan semua pihak sehingga dalam rasuah ni berlaku macam kisah dua ekor kera yang minat dengan pisang sangat suka dengan pisang, berebut pisang, pisang sebiji.
 
“Jumpa dengan beruk, beruk pun minat pisang juga. Sila selesai masalah. Beruk pun selesailah masalah. Dia potong pisang berat sebelah, dia potong berat sebelah, dia potong masuk dalam mulut dia, masuk dalam mulut beruk.
 
“Potong berat lagi, masuk dalam mulut beruk lagi,  potong masuk akhirnya tinggal kulit, tinggal kulit dah habis dapat kat beruk. Boleh ke kera ni kulit-kulit saja. Ini yang berlaku,” cerita Tuan Guru memberikan perumpamaan.
 
Tegasnya, keadaan itu menyebabkan projek gagal dilaksanakan, hospital tidak siap, pembelian senjata tidak sampai atau melibatkan barangan terpakai kerana peruntukan habis di tengah jalan akibat rasuah.
 
“Duit habis tengah jalan dicantas oleh ‘beruk-beruk’ yang jaga ‘roadblock’ ini. Ada yang ambil 10 peratus tengah jalan, ambil 5 peratus tengah jalan, ambil berapa peratus tengah jalan menyebabkan akhirnya tak cukup.
 
“Menyebabkan nak beli, bajet cukup, bila lulus bajet tiap-tiap tahun cukup, tapi bila sampai masa nak laksana tak cukup. Ini berlaku kelemahan-kelemahan. Kalau dia ada iman tak berani nak buat benda macam ni,” tempelak beliau.

- Advertisement -

 Tuan Guru turut menegaskan bahawa undang-undang yang ada tidak mempunyai roh apabila rasuah hanya dianggap kesalahan dunia semata-mata, sedangkan dalam Islam ia adalah dosa besar melibatkan kepentingan negara dan masyarakat.
 
Menurutnya, rasuah lebih besar dosanya berbanding makanan haram kerana kesannya melibatkan orang ramai, namun kelemahan iman dan kefahaman agama menyebabkan perbuatan itu berterusan walaupun seseorang memiliki ilmu.
 
“Lepas tu buat umrah lagi banyak rasuah lagi acap kali umrah tak jadi masalah. Boleh hilang begitu? Dalam Islam tak hilang mesti kena ambil tindakan undang-undang baru hilang dosa.
 
“Kalau tak ambil tindakan undang-undang, akhirat kena lagi. Kalau dia sedar macam ni barulah dia tak berani buat,” terangnya.
 
Beliau juga menegur bahawa wujud pelaksanaan undang-undang secara terpilih, apabila individu yang menyokong kerajaan dilindungi manakala yang tidak menyokong dikenakan tindakan.
 
Keadaan itu, katanya, menyebabkan kerajaan akhirnya menjadi pelindung kepada pelaku rasuah dan menjadikan sistem pentadbiran sebagai ‘payung yang bocor’. – HARAKAHDAILY 27/1/2026

- Advertisement -