
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengejutkan dunia apabila mengumumkan kenaikan tarif import Korea Selatan ke AS daripada 15 peratus (%) ke 25 peratus.
Langkah ini menyasar sektor automotif, kayu balak, dan farmaseutikal, dan menimbulkan ketegangan baharu antara hubungan kedua-dua negara sekutu strategik lama; dengan Korea Selatan pula kini sedang menghadapi kemungkinan pertempuran diplomatik dan ekonomi dalaman negara
Trump menuduh badan perundangan Korea Selatan gagal mematuhi perjanjian perdagangan dengan Washington.
“Badan Perundangan Korea Selatan tidak memenuhi perjanjiannya dengan Amerika Syarikat,” tulis Trump di media sosial.
“Oleh kerana Korea Selatan belum menggubal perjanjian perdagangan bersejarah kami, saya meningkatkan tarif ke atas automotif, kayu balak, farmaseutikal dan semua tarif timbal balik lain daripada 15% kepada 25%,” tulisnya lagi.
Dalam kenyataan balasnya, Pejabat Presiden Korea Selatan, Rumah Biru, mengumumkan bahawa Menteri Industri, Kim Jung-kwan, akan melawat AS tidak lama lagi bagi mengadakan pertemuan rasmi dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick.
Mesyuarat dalaman sedang dijalankan untuk membincangkan langkah susulan kerajaan Korea Selatan.
Tahun lalu, AS dan Korea Selatan bersetuju menurunkan tarif import kereta dan alat ganti kereta Korea daripada 25% ke 15%, menyamakan mereka dengan pesaing Jepun.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Korea Selatan berjanji melabur USD350 bilion dalam sektor strategik AS dan membayar USD200 bilion secara ansuran, dengan maksimum USD20 bilion setahun bagi memastikan kestabilan.
Namun, pelaburan itu dijangka tertangguh hingga separuh kedua 2026 kerana lemahnya mata wang won Korea Selatan dan risiko aliran keluar modal besar; fenomena yang belum pernah berlaku sejak krisis kewangan global 2007–2009.
Mengulas isu berkenaan, Pengerusi Ekonomi Antarabangsa di Atlantic Council, Josh Lipsky berkata, tindakan Trump itu menunjukkan ketidaksabaran AS terhadap kelambatan penggubalan perjanjian oleh Korea Selatan.
“Ia peringatan bahawa pasaran sering salah jika mempercayai kestabilan tarif pada 2026. Kadangkala turun naik ini sebahagian daripada strategi dan risiko perdagangan global,” katanya.











