‘Jika LRT P Pinang boleh, mengapa tak ECRL Kelantan?’

Isu LPT3, CSR turut dibangkitkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berharap pelaksanaan projek Laluan Rel Transit (LRT) Mutiara bernilai RM17 bilion di Pulau Pinang dapat dilaksanakan dengan baik bagi memberi kemudahan kepada rakyat negeri berkenaan secara umumnya.
 

Namun, dalam masa yang sama, Khairil Nizam membangkitkan persoalan berkaitan sambungan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang melalui Pasir Mas.
 
“Apakah ia boleh extend (sambung)? Kosnya lebih kurang RM3 bilion saja kerana ia melibatkan ekonomi sempadan ekopelancongan.
 
“Jadi kalau boleh Kementerian Pengangkutan menggunakan modus operandi yang sama untuk LRT Mutiara itu untuk kita extend pada  projek untuk ECRL,” ujarmya.
 
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini semalam.
 
Sementara itu, beliau turut meminta Kementerian Pengangkutan menjelaskan status penubuhan Malaysia Transportation Safety Board (MTSB) susulan peningkatan kes kemalangan maut yang sering dibangkitkan sebelum ini.

- Advertisement -

Menurutnya, usaha penubuhan MTSB telah beberapa kali diutarakan oleh pihak kementerian dan beliau mempersoalkan sama ada ia boleh direalisasikan dalam tahun ini.

“Sebab kita bercerita tentang banyak kemalangan maut dan ia telah banyak kali diutarakan oleh Menteri dalam usaha untuk menubuhkan MTSB. Jadi soalannya apakah ia boleh direalisasikan pada tahun ini?” soalnya.

Selain itu, beliau turut meminta penjelasan daripada Kementerian Kerja Raya berhubung kemajuan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang terhenti di Gemuruh, Terengganu untuk sambungan ke Kelantan.
 
Khairil Nizam juga mempersoalkan status pembinaan Central Spine Road (CSR) dan memaklumkan bahawa tiada jajaran lebuh raya itu yang melalui kawasan Jerantut.
 
Menurutnya, kedudukan Jerantut yang berada di tengah serta memiliki aset pelancongan utama negara iaitu Taman Negara menjadikannya kawasan strategik.
 
Beliau berkata, sekiranya terdapat laluan keluar atau akses daripada CSR ke Jerantut, ia diyakini mampu meningkatkan daya saing ekopelancongan di kawasan berkenaan. – HARAKAHDAILY 27/1/2026

- Advertisement -