
KUALA LUMPUR: Peningkatan prestasi ekonomi negara tidak seharusnya hanya dinilai melalui angka makro semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada kesejahteraan sebenar rakyat termasuk kenaikan gaji, kuasa beli dan kelangsungan peniaga kecil.
Datuk Ustaz Idris Ahmad (PN–Bagan Serai) berkata, walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan 4.9 peratus pada tahun 2025 melepasi sasaran 4.0 hingga 4.7 peratus, realiti di peringkat akar umbi masih membimbangkan.
“Data menunjukkan ekonomi kita berkembang, tetapi pengalaman saya turun ke kampung dan bersama rakyat mendapati banyak kedai kecil masih suram. Ini menunjukkan pertumbuhan itu belum benar-benar dirasai rakyat,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau turut mempersoalkan peningkatan pelaburan negara sebanyak 13.2 peratus bernilai RM285 bilion, khususnya dari sudut penciptaan pekerjaan berkualiti yang setara dengan kelulusan graduan.
“Persoalannya berapa banyak pekerjaan setara diwujudkan. Kita tidak mahu lulusan ijazah dan sarjana akhirnya hanya bekerja sebagai juruwang atau peniaga kecil kerana peluang kerja bersesuaian tidak tersedia,” ujarnya.
Mengulas isu pesawah, Idris berkata pelbagai tuntutan petani masih gagal diselesaikan walaupun masalah itu berlarutan sejak sekian lama.
Antara isu utama ialah kadar pemotongan padi yang disifatkan keterlaluan sehingga mencecah antara 45 hingga 65 peratus, sedangkan pesawah menuntut had maksimum ditetapkan pada 20 peratus.
Selain itu katanya, pesawah menuntut supaya harga lantai padi dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,800 satu tan, peningkatan subsidi input daripada RM500 kepada RM800, serta kebenaran untuk petani menyediakan dan menyimpan benih sendiri dengan sokongan subsidi kerajaan.
Beliau turut membangkitkan isu benih padi apabila harga subsidi sepatutnya sekitar RM20.60 sekampit, namun dijual sehingga RM60, selain kualiti benih yang dipertikaikan dan sukar diperoleh oleh petani.
Idris juga menegaskan penolakan pesawah terhadap cadangan pindaan Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 bagi menyertai UPOV 91 kerana ia menjejaskan hak petani untuk menyimpan, menanam semula dan mengusahakan benih hasil tuaian sendiri.
“Apabila benih dikawal sepenuhnya, petani akan terperangkap dengan monopoli dan kos akan terus meningkat,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.
Dalam perbahasan sama, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan sektor pertanian apabila majoriti pesawah kini terdiri daripada golongan berusia.
Menurut beliau, laporan Interim Banci Pertanian 2024 menunjukkan 46.4 peratus pesawah berumur 60 tahun ke atas, 32 peratus berumur antara 46 hingga 59 tahun, manakala penglibatan belia kurang daripada 30 peratus.
“Ini ancaman serius kepada keterjaminan dan kedaulatan makanan negara jika golongan muda tidak dibawa masuk sebagai pelapis,” katanya.
Menyentuh isu pendidikan, Idris meminta kerajaan menangguhkan cadangan kemasukan murid seawal umur lima atau enam tahun ke Tahun Satu sehingga libat urus menyeluruh dilaksanakan.
Beliau berkata dasar tersebut dilihat tergesa-gesa, tidak konsisten dan berisiko mewujudkan kesenjangan antara keluarga berkemampuan dan kurang mampu.
“Kita tidak mahu anak-anak menjadi bahan eksperimen dasar. Isu pokok seperti kekurangan guru, beban tugas bukan pengajaran, sekolah daif dan kekurangan kemudahan perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau menegaskan Perikatan Nasional bersedia menyokong dasar pendidikan yang benar-benar berpaksikan kepentingan generasi masa depan.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal masa depan anak dan cucu kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2026











