Bidas kerajaan tak amanah junjung Titah Diraja

Isu rasuah dan Titah Adendum dilengah, selektif atau dikelirukan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) menegaskan bahawa rasuah mesti diperangi dan sesiapa yang menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah serta bersubahat melindungi perasuah adalah pengkhianat negara.

Beliau berkata, titah baginda Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa pemberi rasuah juga perlu diadili kerana mempunyai kepentingan diri serta perbuatan itu merosakkan negara dan kerajaan.
 
“Namun titah baginda tentang rasuah membawa satu prinsip yang lebih besar iaitu institusi negara hanya berfungsi bila amanah dihormati dan arahan tertinggi negara dilaksanakan, bukan dipolemikkan,” ujarnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini semalam.
 
Dalam hal itu, beliau mengaitkan isu Titah Adendum yang pernah dipertikaikan sebelum ini, yang menurutnya telah dijadikan bahan perdebatan politik dan sentimen.
 
Sedangkan menurutnya, dalam sistem Raja Berperlembagaan, keutamaan ialah memastikan Titah Diraja dihormati melalui tindakan pentadbiran yang jelas dan dilaksanakan segera.
 
Katanya, Titah Diraja tidak seharusnya dilengah-lengahkan, ditafsir secara selektif atau dibiarkan tergantung sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
 
Ismail berkata, apabila Baginda bertitah supaya rasuah diperangi tanpa mengira pangkat serta menuntut ketegasan dan kesempurnaan pelaksanaan oleh institusi negara, mesej yang disampaikan adalah jelas iaitu amanah tidak boleh dipermainkan.
 
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan jaminan kerajaan kepada rakyat bahawa titah Seri Paduka Baginda benar-benar diterjemahkan dalam keputusan dan tindakan pentadbiran.
 
“Tidak guna anggota pentadbiran dan kita semua berikrar setia kepada raja dan negara, prinsip perlembagaan jika kita sendiri tidak jujur dan amanah,” katanya.
 
Beliau menegaskan, sekiranya kerajaan benar-benar mahu berdiri atas prinsip integriti dan tatakelola seperti yang ditekankan dalam titah Baginda, maka kerajaan wajib membuktikan bahawa Titah Diraja tidak dinilai berdasarkan kehendak politik atau dilaksanakan secara pilih bulu.
 
Sebaliknya kata beliau, Titah Diraja perlu dilaksanakan sepenuhnya sebagai satu amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara. – HARAKAHDAILY 27/1/2026

- Advertisement -
- Advertisement -