
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menilai semula dasar berkaitan industri padi dan beras negara bagi memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara serta kelangsungan bekalan makanan asas negara terjamin.
Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, dasar sedia ada perlu diteliti semula susulan tekanan kos input yang semakin meningkat, selain pelbagai isu pelaksanaan menjejaskan pendapatan pesawah.
Menurut beliau, satu memorandum berhubung perkara itu telah diserahkan oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia kepada Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional pada 20 Januari lalu.
“Antara perkara utama yang dibangkitkan termasuk keperluan mengekalkan kadar pemotongan padi pada siling 20 peratus atau 20 kilogram bagi setiap 1,000 kilogram padi.
“Kedua menaikkan harga lantai padi kepada RM1,800 per tan metrik,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini semalam.
Ghani berkata, sekiranya kerajaan berdepan kekangan untuk menaikkan harga lantai padi, beberapa langkah alternatif wajar dipertimbangkan, termasuk menaikkan subsidi harga padi daripada RM500 kepada RM800 bagi setiap tan.
Beliau turut meminta kerajaan menilai semula kos input pertanian dengan menurunkan harga jentera, benih, baja dan racun bagi mengurangkan beban pesawah.
Selain itu katanya, pesawah wajar dibenarkan menyimpan, berkongsi dan menjual benih padi sendiri sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada pembekal komersial yang menawarkan harga tinggi.
Dalam perbahasan sama, Dr Ghani turut membangkitkan isu kelewatan bayaran elaun sara hidup pesawah sebanyak RM600 yang diumumkan pada Februari 2025, namun masih belum diterima sehingga kini.
“Isu bayaran elaun sara hidup pesawah sementara menunggu hasil padi yang diumumkan pada 4 Februari 2025 masih belum disalurkan sehingga kini.
“Justeru, pesawah menuntut agar kerajaan dapat menunaikan pembayaran tersebut secepat mungkin, selewat-lewatnya sebelum menjelang Aidilfitri 2026,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2026











