Agenda busuk DAP serang entiti ekonomi Muslim

‘Lu siapa?’ - Bos Mydin bidas MP DAP

- Advertisement -

TINDAKAN biadab seorang Ahli Parlimen DAP yang dilihat sengaja mencari pasal dengan syarikat peruncitan gergasi milik Muslim, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) di Dewan Rakyat mengundang padah apabila ditempelak sendiri oleh Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

- Advertisement -

Kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mendakwa kononnya ‘tauke Mydin’ sedang ‘menari kegembiraan’ mengaut keuntungan atas angin menerusi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disifatkan sebagai satu tuduhan liar yang mempunyai niat jahat (malafide) terhadap entiti perniagaan Bumiputera.

Menerusi video tular di TikTok, Ameer Ali tanpa berselindung membidas wakil rakyat DAP tersebut dengan ungkapan sinis, “Lu siapa, lu rileks dulu” sambil menyifatkan naratif yang dibawa DAP itu sebagai sangkaan jahat semata-mata.

Tindakan Khoo memetik nama Mydin secara khusus di Parlimen, sedangkan terdapat banyak lagi pasar raya gergasi bukan Islam lain yang menerima manfaat dalam rantaian SARA, mencetuskan persoalan besar mengenai motif sebenar parti tersebut.

“YB kata kita ‘happy’ banyak untung, menari-menari. Itu sangkaan jahat YB… Kalau YB nak tahu siapa peniaga terbesar menerima manfaat SARA ini, mungkin YB patut sebut syarikat itu dalam Parlimen. Sebut-sebut Mydin saja, buat apa?” soal Ameer Ali.

Kenyataan Ameer Ali itu mendedahkan sikap berat sebelah pemimpin DAP yang dilihat cuba memainkan sentimen perkauman secara halus dengan mempotretkan perniagaan Muslim sebagai tamak, sedangkan Mydin terkenal dengan usaha membantu rakyat susah.

Serangan DAP terhadap Mydin ini dilihat sangat kontradik dan menyerlahkan sikap hipokrit parti itu apabila dibandingkan dengan respons mereka terhadap isu sensitiviti agama sebelum ini.

Pemerhati politik dan netizen mempersoalkan di mana suara lantang DAP ketika negara digemparkan dengan isu penghinaan kalimah Allah pada stoking yang dijual di rangkaian serbaneka milik bukan Muslim (KK Mart).

Ketika itu, pimpinan DAP dilihat sibuk mempertahankan peniaga terbabit, menyeru rakyat bertenang dan menolak boikot atas alasan ‘keharmonian ekonomi’.

Tiada pula wakil rakyat mereka bangun di Parlimen menyerang pemilik kedai tersebut.

Namun, apabila Mydin menerima manfaat daripada inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat miskin, ia terus diserang dan dijadikan modal politik.

Sikap ‘double standard’ ini menguatkan lagi persepsi bahawa wujud agenda untuk menekan dominasi ekonomi umat Islam.

Dalam pada itu, kemarahan rakyat terhadap serangan DAP ini diterjemahkan melalui solidariti padu kepada Mydin.

Malah, usaha segelintir penyokong tegar kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk menghasut rakyat memboikot Mydin bukan sahaja gagal, malah menjadi bahan ketawa.

Seorang pengguna Facebook, Nasir Seligi mendedahkan tindakan seorang individu bernama Mohd Shah Rim yang cuba mengajak orang ramai memboikot pasar raya tersebut susulan kenyataan Ameer Ali.

“Ada ‘barua’ yang cuba nak memusnahkan Pasaraya MYDIN Malaysia atau peniaga-peniaga Islam. Kita perlu beri sokongan kepada peniaga Islam dan Bumiputera untuk terus kukuh,” tegas Nasir dalam hantarannya.

Semakan mendapati hantaran provokasi Mohd Shah Rim itu ‘memakan diri’ apabila dibanjiri reaksi negatif netizen.

Hantaran tersebut mendapat ratusan emoji ‘ketawa’ dan ‘marah’, membuktikan rakyat menolak hasutan jahat tersebut.

Ruangan komen sebaliknya dipenuhi dengan gesaan agar umat Islam memperkasakan kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) sebagai tanda protes terhadap sikap angkuh DAP yang dilihat semakin berani menyentuh sensitiviti ekonomi umat Islam. – HARAKAHDAILY 27/1/2026

- Advertisement -