Syor wujudkan mekanisme bajet kecemasan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengemukakan syor untuk kerajaan mewujudkan satu mekanisme bajet kecemasan bagi membolehkan mana-mana ahli parlimen memohon peruntukan segera ketika berlakunya bencana.

Menurut beliau, ia bagi memastikan bantuan awal kepada rakyat dapat disalurkan dengan lebih berkesan, sekali gus menangani beberapa kelompongan dalam agenda reformasi sedia ada, khususnya berkaitan peruntukan wakil rakyat dan pengurusan bencana.

- Advertisement -

Menurutnya, sehingga kini ahli parlimen pembangkang masih belum menerima peruntukan, sekali gus mengehadkan keupayaan mereka membantu mangsa bencana di kawasan masing-masing.

“Satu sistem bajet kecemasan perlu diwujudkan supaya mana-mana Ahli Yang Berhormat boleh memohon bantuan secara terus, dengan bayaran disalurkan terus kepada pembekal atau pasar raya.

“Apa jua mekanisme yang sesuai mesti ada bagi memastikan bantuan awal kepada mangsa dapat disampaikan dengan segera. Ini hanyalah antara perkara sedia ada yang perlu direform.

“Hakikatnya, masih banyak aspek berkaitan peruntukan dan pengurusan bencana yang perlu diperhalusi. Saya percaya rakan-rakan Ahli Parlimen lain turut menyentuh perkara ini.

“Wakil rakyat, sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, turun ke lokasi musibah bukan untuk mengejar populariti politik, tetapi bagi melaksanakan amanah yang telah diberikan.

“Justeru, kerajaan perlu berjiwa besar dalam situasi sebegini demi rakyat dan negara,” katanya ketika membahaskan usul di Dewan Rakyat.

Wan Razali turut menyuarakan kebimbangan berhubung penglibatan wakil rakyat pembangkang, khususnya di Pahang, yang masih terhad dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Perkara itu menurutnya, menyukarkan penyelarasan bantuan dan akses maklumat penting seperti pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Apabila berlaku sesuatu bencana, kami terpaksa mencari sendiri maklumat sama ada pusat pemindahan sementara telah dibuka atau belum.

“Ada ketika, pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan PPS juga tidak dapat dihubungi apabila kami cuba mendapatkan pengesahan sama ada PPS sudah beroperasi atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, rakyat mahukan kerajaan bersikap adil telus dan bertanggungjawab terhadap setiap polisi yang diputuskan.

“Bercakap soal reformasi ini masih banyak kelompongan yang perlu ditambah baik contohnya yang pertama berkaitan peruntukan ahli parlimen sehingga petang ini ahli parlimen pembangkang sudah menerima peruntukan sebanyak kosong sen berbanding pihak kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/1/2026

- Advertisement -