
KUALA LUMPUR: Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan bahawa Pengerusi PN hendaklah dipilih oleh Ahli-ahli Majlis Tertinggi dan memegang jawatan selagi dikehendaki oleh majlis berkenaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Perlembagaan PN tidak menyatakan secara khusus bahawa pengerusi mesti dalam kalangan presiden parti anggota.
Menurut beliau, berbeza dengan peruntukan jelas membabitkan keanggotaan Majlis Presiden yang hanya terdiri daripada presiden-presiden parti.
“Tidak ada satu pun perkataan di sini (dalam Perlembagaan) mengatakan bahawa Pengerusi Perikatan Nasional mestilah dipilih dari kalangan presiden parti-parti anggota,” ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, amalan sebelum ini yang menyaksikan Pengerusi PN terdiri daripada presiden parti anggota tidak boleh dianggap sebagai satu kewajipan perlembagaan untuk diteruskan pada masa hadapan.
Menurutnya, ketika BERSATU memimpin PN sebelum ini, gabungan parti anggota bersetuju menerima sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh BERSATU sebagai pengerusi, dan kebetulan ketika itu Tan Sri Muhyiddin juga merupakan Presiden BERSATU.
“Kalaulah katakan dia (ketika itu BERSATU) menamakan Timbalan Presiden atau Naib Presiden BERSATU (sebagai Pengerusi PN), undang-undang mengatakan mereka boleh buat begitu, (perkara itu boleh diterima),” jelasnya.
Beliau berkata, selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin dan persetujuan dicapai supaya PAS mengetuai PN, maka PAS akan mengemukakan calon bagi jawatan Pengerusi PN, tertakluk kepada persetujuan Majlis Tertinggi.
Calon bukan Presiden PAS
“Yang saya boleh sebutlah, oleh kerana disahkan oleh mesyuarat-mesyuarat tertinggi PAS, ia bukan Presiden PAS (yang akan menjadi Pengerusi PN). Itu saja saya boleh bagi petunjuk.
“Siapa yang akan dicalonkan? Terserah kepada Presiden untuk mengumumkan dalam masa yang terdekat, tidak lama lagi,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Mengulas kedudukan Majlis Presiden PN, Takiyuddin berkata majlis itu masih belum berfungsi sepenuhnya kerana peruntukan semasa menetapkan ia hanya dianggotai oleh presiden-presiden parti anggota dan mempunyai skop tugas yang terhad.
Menurutnya, antara perkara yang dipersetujui oleh Presiden PAS dan Presiden BERSATU sebelum ini ialah cadangan untuk memperkasa peranan Majlis Presiden, khususnya dalam membuat keputusan muktamad berkaitan dasar utama PN serta ketetapan kerusi pilihan raya.
Beliau berkata, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi mengkaji pindaan Perlembagaan berhubung perkara itu, namun sebarang pindaan hanya boleh dibuat dalam Mesyuarat PN dan perlu dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk kelulusan.
“ROS akan mengambil masa yang tak tahulah bergantung pada merekalah untuk meluluskan pindaan itu,” terang beliau yang juga merupakan Ketua Whip Perikatan Nasional.
Sehubungan itu, Takiyuddin menegaskan keutamaan PN ketika ini adalah menyelesaikan isu pelantikan pengerusi terlebih dahulu memandangkan gabungan itu berdepan urusan penting termasuk persiapan menghadapi pilihan raya negeri dalam masa terdekat.
“Adapun Majlis Presiden tu akan diselesaikan kemudian apabila pindaan ini diluluskan. Sebenarnya secara perlembagaan, Presiden-presiden parti sudah pun menjadi Ahli Majlis Presiden.
“Cuma dia nak pinda dari segi dia punya ‘jurisdiction’ ataupun bidang tugasnya, bidang tugas dia itu akan dibuatlah pindaan itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2026











