Notis Mesyuarat Luar Biasa, 29 Jan ikut Perlembagaan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempertahankan tindakan beliau mengeluarkan notis Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan pada 29 Januari ini.

Menurut beliau, ia adalah selaras dengan Perlembagaan PN dan dilaksanakan atas tanggungjawab termaktub diamanahkan kepadanya berikutan ketiadaan Setiausaha Agung PN yang meletakkan jawatan.

“Kita fahami apabila tidak ada Setiausaha Agung, maka Timbalan Setiausaha Agung perlu melaksanakan tanggungjawab perlembagaan sebagaimana Fasal 12.2. Kalau tidak siapa yang nak buat lagi?” ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin, atas dasar itu beliau telah mengeluarkan notis bertarikh 23 Januari 2026 kepada semua ahli Majlis Tertinggi PN yang terkini berdasarkan rekod parti dan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Beliau menjelaskan bahawa notis itu dihantar kepada semua Ahli Majlis Tertinggi PN yang sah, termasuk Timbalan-timbalan Pengerusi PN iaitu Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden MIPP, Punithan Paramasivam serta Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin.

Selain itu, notis turut dihantar kepada Ketua Wanita PN, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin juga Ketua Pemuda PN, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta lapan Ahli Majlis Tertinggi yang dilantik mewakili parti-parti anggota.

Takiyuddin menjelaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dipanggil ke mesyuarat itu kerana beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026, selain rekod PN dan ROS menunjukkan wakil BERSATU sebagai Timbalan Pengerusi PN kekal Dato’ Seri Hamzah Zainuddin sehingga dimaklumkan sebaliknya secara rasmi.

Menurutnya, mesyuarat luar biasa itu dipanggil pada 29 Januari 2026, jam 8.30 malam dan akan diadakan di Ibu Pejabat Parti GERAKAN di Jalan Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur, selepas mendapat persetujuan Presiden GERAKAN dan Presiden PAS.

Takiyuddin berkata, agenda mesyuarat tersebut merangkumi pemilihan pengerusi mesyuarat dalam kalangan Timbalan-timbalan Pengerusi PN, pengesahan perletakan jawatan Pengerusi PN sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 8.3(1)(b) Perlembagaan PN, serta pelantikan Pengerusi PN yang baharu tertakluk kepada kelulusan agenda kedua.

“Andai kata maksudnya andai kata Majlis Tertinggi PN tidak meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin, maka ‘legally’ dia masih kekal sebagai pengerusilah dan tak perlulah agenda tiga melantik Pengerusi PN yang baru,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa mesyuarat itu dipanggil berasaskan permintaan bertulis daripada parti-parti anggota PN, selaras dengan Fasal 12.2 Perlembagaan PN yang memperuntukkan mesyuarat luar biasa boleh diadakan atas permintaan sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah parti anggota.

Takiyuddin turut menjelaskan kronologi peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN pada 30 Disember 2025 berkuat kuasa 1 Januari 2026, termasuk surat pemakluman kepada Presiden PAS dan jawapan balas yang menyatakan penerimaan serta penghargaan terhadap khidmat beliau.

Menurutnya, walaupun perletakan jawatan pengerusi hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi PN, pandangan undang-undang yang diterima menyatakan perletakan jawatan tersebut telah berkuat kuasa dari segi ‘functus officio’ berdasarkan tarikh yang ditetapkan dalam surat peletakan jawatan. – HARAKAHDAILY 26/1/2026

- Advertisement -

- Advertisement -