
KOLKATA, INDIA: Pihak berkuasa India mengesahkan dua kes jangkitan virus Nipah yang membawa maut dilaporkan di negeri Bengal Barat, sekali gus mencetuskan langkah kuarantin dan pemantauan kesihatan secara menyeluruh bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, dua orang jururawat di sebuah hospital swasta berhampiran Kolkata disahkan dijangkiti virus Nipah, iaitu penyakit zoonotik yang boleh merebak antara haiwan dan manusia, salah seorang daripada mereka kini berada dalam keadaan kritikal dan koma.
Pegawai kesihatan tempatan, Narayan Swaroop Nigam, berkata kedua-dua jururawat itu bekerja bersama-sama dari 28 hingga 30 Disember lalu sebelum mengalami demam panas serta masalah pernafasan antara 31 Disember 2025 hingga 2 Januari 2026.
Keadaan kesihatan mereka dilaporkan semakin merosot sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 4 Januari di hospital yang sama.
Siasatan awal mendapati kedua-dua jururawat itu berkemungkinan dijangkiti virus berkenaan daripada seorang pesakit yang mengalami simptom pernafasan teruk dan pernah dirawat di hospital sama.
Bagaimanapun, pesakit tersebut meninggal dunia sebelum ujian virus Nipah dapat dijalankan dan kini dianggap sebagai kes indeks yang disyaki.
“Sumber jangkitan yang paling berkemungkinan ialah seorang pesakit yang pernah dimasukkan ke hospital berkenaan. Siasatan lanjut masih diteruskan,” kata seorang pegawai kesihatan kanan yang terlibat dalam usaha pemantauan Nipah di lokasi kejadian.
Setakat 20 Januari 2026, seramai 180 individu di wilayah tersebut telah menjalani ujian saringan virus Nipah, manakala 20 individu yang dikenal pasti mempunyai kontak berisiko tinggi dengan kedua-dua jururawat itu telah dikuarantin.
Nigam memaklumkan bahawa semua keputusan ujian setakat ini adalah negatif dan mereka yang dikuarantin akan diuji semula selepas tamat tempoh pengasingan selama 21 hari.
Seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan India menegaskan bahawa situasi berkenaan sedang ditangani dengan keutamaan tertinggi berikutan sifat virus Nipah yang mempunyai kadar kematian tinggi dan potensi penularan pantas.
Agensi kesihatan tempatan dan kebangsaan, termasuk Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan India, kini terlibat secara langsung dalam siasatan dan pemantauan wabak berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, akhbar The Hindu melaporkan bahawa pihak berkuasa turut menjalankan ujian ke atas kelawar di Zoo Alipore, Kolkata, bagi menolak kemungkinan jangkitan.
Menurut laporan itu, penyelidik dari Institut Penyelidikan Perubatan Kebangsaan India telah mengumpul sampel darah dan calitan daripada kelawar selama dua hari, selain menjalankan ujian RT-PCR ke atas kelawar di beberapa lokasi lain di Bengal Barat.
Sementara Pengarah Zoo Alipore, Tripti Sah, berkata semua prosedur dan protokol keselamatan telah dipatuhi sepanjang proses pengambilan sampel dan orang ramai tidak perlu panik buat masa ini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, virus Nipah boleh menyebabkan jangkitan tanpa gejala, penyakit pernafasan akut dan ensefalitis maut atau keradangan otak. Virus itu juga menyebabkan penyakit serius pada haiwan seperti babi.
Wabak Nipah pertama dikenal pasti di Malaysia pada tahun 1999, mengorbankan kira-kira 100 nyawa di Malaysia dan Singapura, selain memaksa pemusnahan kira-kira satu juta ekor babi bagi mengekang penularan penyakit, yang memberi kesan ekonomi besar kepada sektor penternakan.
Virus Nipah dipercayai merebak melalui pendedahan kepada rembesan haiwan, sentuhan dengan tisu haiwan yang dijangkiti, atau makanan seperti buah-buahan dan jus yang tercemar dengan air liur atau air kencing kelawar buah. Penularan daripada manusia ke manusia juga boleh berlaku.
Sehingga kini, tiada vaksin atau penawar khusus bagi virus Nipah dan rawatan hanya tertumpu kepada pengurusan simptom.
Gejala awal termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, muntah dan sakit tekak, sebelum berkembang kepada pening, mengantuk, perubahan kesedaran serta masalah neurologi.
Tempoh inkubasi virus ini adalah antara empat hingga 14 hari dan tiada kes pernah dilaporkan di Amerika Syarikat.
Kementerian Kesihatan India juga menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk memakai pakaian perlindungan ketika mengendalikan haiwan, membasuh buah sebelum dimakan, melindungi sumber air nira dan jus daripada kelawar, serta mengelakkan kawasan berisiko seperti bangunan terbiar, gua dan lombong.











