
KUALA LUMPUR: PAS dilihat terus berusaha memacu ke hadapan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai bersama BERSATU, GERAKAN dan MIPP walaupun ‘cedera dilukai’ berikutan kemelut politik dalaman gabungan itu di Perlis hujung Disember lalu.
PAS juga dilihat sedaya-upaya mahukan PN dilihat teguh melaksanakan tadbir urus pemerintahan kerajaan negeri yang dimandatkan rakyat serta bersedia sebagai ‘kerajaan menunggu’ kepada Kerajaan Pusat sedia ada.
Intervensi tersebut menjadi sebahagian persediaan dan persiapan utama kepada PN berikutan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) boleh berlaku bila-bila masa dengan yang paling hampir adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, diikuti Johor.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudahpun mengumumkan peletakan jawatan berkuatkuasa 1 Januari lalu, namun hingga ke hari ini belum mengesahkan secara rasmi menerusi Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) PN.
Situasi tersebut juga dilihat disumbangkan oleh tindakan beberapa individu yang seolah-olah cuba menafikan atau menghalang proses keputusan Ahli Parlimen Pagoh dimuktamadkan walaupun terdapat usaha agar mesyuarat gabungan itu segera diadakan.
Terkini, Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz yang terus menegaskan bahawa Muhyiddin masih Pengerusi PN telah menyebabkan dua individu itu dibidas keras oleh bekas Ahli MT PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Memang tak pelik Tun Faisal buat kenyataan untuk lambung Muhyiddin. Dalam bab melambung Muhyiddin, Tun Faisal sudah layak mendapat anugerah perkhidmatan terpaling cemerlang,” ujarnya menyindir.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu juga melontarkan persoalan mengapa sekiranya Muhyiddin masih Pengerusi PN tidak bertindak segera memanggil Mesyuarat MT PN untuk membincangkan penggantinya selepas meletakkan jawatan.
“Bukankah Pengerusi PN yang bertanggungjawab akan segera menyelesaikan isu yang penting ini? Janganlah nanti ada yang kata Muhyiddin dan penjilatnya masih tak jumpa muslihat untuk u-turn maka sebab itulah Muhyiddin takut nak panggil mesyuarat.
“Kalau nak kata Muhyiddin tak ada masa, ramai yang tahu dia ada masa pula untuk buat macam-macam perjumpaan lain. Malahan, tiba-tiba sekarang ini rajin pula dia panggil nak jumpa MP dan ADUN BERSATU.
“Ada orang bagitahu Februari nanti dia panggil mereka berjumpa. Nak melobi pengaruh ke tu. Sepatutnya, kalau nak bawa hujah bahawa Muhyiddin masih kekal Pengerusi PN, suruhlah Muhyiddin buat kerja dulu,” ujarnya Wan Saiful.
Pada 10 Januari lalu, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Timbalan Pengerusi PN telah menghantar surat kepada semua Timbalan-timbalan Pengerusi PN menyatakan pandangan keperluan memanggil mesyuarat tergempar.
Semalam, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS pula menjelaskan peruntukan Perlembagaan PN berhubung jawatan Pengerusi PN dan keanggotaan Majlis Presiden.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga mengesahkan panggilan Mesyuarat Luar Biasa akan diadakan dengan jemputan kepada Timbalan-timbalan Pengerusi dan Ahli Majlis Tertinggi PN di Pejabat GERAKAN, di sini Khamis, 29 Januari ini.
Wan Saiful berkata lagi, disebabkan Muhyiddin tidak menunjukkan minat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi PN, maka presiden parti-parti lain pula terpaksa hantar surat minta supaya dipanggil satu mesyuarat MT PN luar biasa.
“Kalau dah tak berdaya buat kerja, jangan susahkan orang lain yang nak bekerja. Itu namanya ‘failed leader’,” katanya yang sebelum ini telah dipecat BERSATU. – HARAKAHDAILY 27/1/2026











