
KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan supaya tidak terlalu berbangga dengan angka pertumbuhan ekonomi makro, sedangkan realiti kehidupan rakyat di bawah khususnya di luar bandar, terus tertekan dengan kos sara hidup yang menghimpit.
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, walaupun kerajaan sering melaungkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 4 hingga 5 peratus serta inflasi terkawal, situasi sebenar di lapangan adalah sebaliknya.
“Angkanya cantik namun rakyat terus tertekan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pendapatan median isi rumah luar bandar kekal rendah manakala kos sara hidup meningkat secara konsisten.
“Ini menunjukkan satu realiti pahit iaitu pertumbuhan ekonomi tidak mengalir ke dapur rakyat. Dasar ekonomi terlalu berpusat, bersifat bandar dan korporat sedangkan rakyat luar bandar terus bergelut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.
Ahmad Tarmizi berkata, kuasa pemerintahan bukanlah lesen keistimewaan peribadi, sebaliknya adalah amanah berat yang akan dihisab oleh Allah SWT.
“Kuasa bukan milik peribadi, jawatan bukan lesen keistimewaan tetapi amanah yang akan dipersoalkan oleh rakyat dan dihisab oleh Allah. Dewan ini adalah medan amanah, tempat kuasa ditegur, dasar dipersoal dan nasib rakyat diperjuangkan,” ujarnya.
Menyentuh isu kemiskinan, beliau menyelar kebergantungan kerajaan kepada data semata-mata tanpa empati di lapangan.
Jelasnya, walaupun kadar kemiskinan tegar dilaporkan hampir sifar iaitu 0.09 peratus, kemiskinan mutlak dan relatif masih tinggi di negeri-negeri luar bandar termasuk Kedah.
“Di Sik, kemiskinan bukan angka, ia berwajah manusia. Rumah uzur, anak tercicir sekolah dan warga emas tanpa pendapatan tetap. Masalah sebenar ialah kebergantungan kepada data tanpa turun padang,” ujarnya.
Beliau dalam perbahasannya itu turut mendesak audit kemiskinan peringkat mukim dilaksanakan dengan lebih spesifik.
Ahmad Tarmizi turut membawa suara rintihan pesawah padi dan penoreh getah yang disifatkannya sebagai mangsa sistem yang tidak adil.
Beliau mendesak kerajaan campur tangan secara tegas dalam isu pemotongan padi terlalu tinggi dan tidak telus yang memerah keringat petani.
“Walaupun harga padi diumum meningkat, pendapatan sebenar pesawah kekal rendah. Jika pesawah terus ditekan, siapa akan jamin bekalan beras negara?
“Pesawah mesti diangkat sebagai benteng keselamatan negara, bukan sekadar penerima subsidi,” katanya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Sik.
Bagi sektor getah, beliau mendesak kerajaan mengisytiharkan penyakit daun luruh Pestalotiopsis sebagai krisis nasional kerana ia telah menjejaskan hasil sehingga 60 peratus, menyebabkan ribuan penoreh hilang punca rezeki.
Selain isu ekonomi, Ahmad Tarmizi turut menekankan keperluan memperkasakan Mahkamah Syariah agar setaraf dengan Mahkamah Sivil, selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Menyentuh isu Palestin, beliau mempersoalkan kegagalan diplomasi kerajaan apabila Malaysia tidak dijemput dalam sidang utama damai di Syamsyih (Sham El-Sheikh) baru-baru ini, serta mendesak Malaysia memimpin blok Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan lebih tegas dalam isu genosid di Gaza. – HARAKAHDAILY 27/1/2026











