
KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menegaskan bahawa dalam Islam, pemimpin perlu menjadi contoh dan model kepada seluruh jentera pentadbiran, kerana budaya dan tingkah laku di peringkat bawahan akan mengikut apa ditunjukkan pimpinan tertinggi.
Menurut Presiden PAS itu, ulama menjelaskan bahawa jentera kerajaan akan meniru pihak atasan, dan jika pemimpin menjadi model baik, maka orang bawahan juga akan mengikut jejak sama.
Beliau merujuk pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai contoh reformasi sebenar yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, bukan dua penggal.
“Umar Abdul Aziz ni, dia bertindak terhadap isteri dia dulu yang dapat hadiah. Lepas tu bertindak terhadap keluarga yang terdekat dapat hadiah, terhadap kroni yang dapat hadiah.
“Keikhlasan dia menyebabkan pihak yang bawah ni jujur jadi model,” ujar beliau ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Tuan Guru berkata, reformasi tidak memerlukan pertukaran jawatan atau gilir kerusi semata-mata, sebaliknya perubahan menyeluruh dalam sistem dan sikap kepimpinan.
“Umar Abdul Aziz buat dua tahun saja. Dua tahun baginda telah diracun oleh keluarga dia sendiri. Tak apalah mati kerana berkorban. Reformasi dalam masa dua tahun.
“Kalau letak jawatan dua penggal bukan reformasi, tetapi ‘reforkerusi’. ‘Reforkerusi’ gilir kerusi sajalah. Gilir jawatan. Lepas orang ni, orang ni pegang pula kalau tak berlaku reformasi yang menyeluruh maka akan jadi rosak,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa rasuah menyebabkan birokrasi di peringkat bawahan semakin parah sehingga menyusahkan rakyat, termasuk dalam urusan mendapatkan tanah atau kelulusan permohonan mengambil masa bertahun-tahun kerana wujudnya tuntutan rasuah.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pegawai bawahan tidak berani berterus terang kerana bimbang dijadikan kambing hitam, manakala pihak yang sebenar terlibat terselamat.
“Tak mustahil pegawai jadi kambing hitam, ‘beruk-beruk’ ni selamat. Pegawai jadi kambing hitam disembelihnya. Dengan sebab itu saya meragui orang-orang yang dedahkan nama-nama pegawai-pegawai ni bukan tentera saja, semua, semua jawatan didedah ni.
“Mungkin ada ‘beruk-beruk’ yang besar. Pegawai ni dipaksa takut ke ‘beruk’ ni terpaksa kena buat. Maka berlakulah tindakan begitu rupa. Jadi sepatutnya pemimpin perlu jadi model yang berani.
“Nak (bagi pegawai) naik pangkat (sepatutnya perlu) orang yang betul-betul buat kerja,” tegas beliau yang juga merupakan mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS).
Beliau turut berkongsi kisah Sultan Hamengkubuwono di Indonesia, yang menaikkan pangkat seorang anggota polis kerana berani menyaman baginda atas kesalahan lalu lintas, sebagai contoh kepimpinan berintegriti.
“Ini tak. Kalau pegawai (yang berintegriti) macam ni, (kita) bagi penampar bagi penampar, bukan naik pangkat ini. Ini tak boleh. ini kita kena sedar,” katanya.
Tuan Guru menegaskan bahawa punca utama kepada masalah yang berlarutan ialah kegagalan dalam pembangunan insan. – HARAKAHDAILY 27/1/2026











