Larangan busking selari prinsip pentadbiran Islam

Sumaiyah Zakaria
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ameerah Terengganu menyokong penuh keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang melarang aktiviti busking sepanjang 10 malam terakhir Ramadan sebagai langkah memelihara kemuliaan bulan yang penuh keberkatan itu.

Pengarahnya, Sumaiyah Zakaria berkata, keputusan tersebut secara tidak langsung mendidik golongan belia, khususnya anak muda yang cenderung kepada hiburan ringan, agar lebih menghormati keistimewaan Ramadan.

- Advertisement -

Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan prinsip pentadbiran Islam yang diamalkan Kerajaan Negeri Terengganu serta menepati slogan Indahnya Hidup Bersyariat.

“Garis panduan yang disediakan tidak sesekali menghalang masyarakat termasuk anak muda untuk berhibur, tetapi perlu mengikut syariat serta mematuhi peraturan dan syaratnya.

“Tambahan pula, kehadiran tetamu Ramadan sememangnya dinanti-nantikan. Bulan penuh berkat dan rahmat. Justeru, adalah tidak wajar ianya dirosakkan dengan budaya hiburan yang berlebihan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Sumaiyah merujuk sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin Aisyah R.anha yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW meningkatkan kesungguhan ibadah Baginda pada 10 malam terakhir Ramadan melebihi hari-hari lain.

“10 Malam terakhir Ramadan, adalah kemuncak perjuangan umat Islam menunaikan kewajipan sebagai Muslim dalam bulan Ramadan.

“Ameerah Terengganu yakin, masyarakat di negeri ini khususnya anak muda positif menerima keputusan larangan busking yang diumumkan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas keputusan yang diambil demi menjaga kesucian Ramadan.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri di atas keputusan yang dikeluarkan ini. Semoga kesannya, dapat dirasai dan dinikmati bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2026

- Advertisement -