Pilihan bakal jadi norma baharu yang memaksa

Umur enam tahun darjah satu 2027

Aireroshairi Roslan
- Advertisement -

KUANTAN: PAS Pahang menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan membenarkan kemasukan murid berumur enam tahun ke Darjah Satu di bawah Rancangan Pendidikan Negara 2025-2035, yang disifatkan berisiko menambah tekanan kepada ibu bapa dan kanak-kanak.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Aireroshairi Roslan berkata, walaupun kerajaan menyatakan dasar itu tidak diwajibkan, galakan berkenaan boleh mewujudkan tekanan tidak langsung kepada ibu bapa untuk mengikut norma baharu demi mengelakkan anak dianggap ketinggalan.

“Dalam masyarakat yang kompetitif, apa yang dikatakan pilihan sering menjadi norma baharu yang memaksa. Pengumuman ini juga dibuat tanpa pelan pelaksanaan yang jelas dan menyeluruh, sekali gus mengejutkan ibu bapa di seluruh negara termasuk di Pahang.

“Kami bimbang dasar ini dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil kira realiti sistem pendidikan negara yang masih bergelut dengan masalah asas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sistem pendidikan negara ketika ini masih berdepan kekangan ketara di mana banyak sekolah di Pahang, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar, beroperasi dengan bilangan murid yang tinggi, nisbah murid-guru tidak seimbang, serta fasiliti uzur atau tidak kondusif.

“Guru pula dibebani dengan tugas pentadbiran dan dokumentasi yang mengurangkan masa pengajaran berkualiti,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil beberapa langkah menangani isu kepadatan kelas, kekurangan guru dan kesihatan mental murid, semua inisiatif tersebut masih di peringkat awal dan belum terbukti keberkesanannya.

Beliau turut mempersoalkan keupayaan sistem pendidikan sedia ada untuk menampung kemasukan murid Darjah Satu yang lebih muda dan memerlukan pendekatan pedagogi yang lebih intensif.

Dari sudut perkembangan kanak-kanak, katanya, umur enam tahun merupakan fasa peralihan yang sangat sensitif kerana ramai kanak-kanak masih membina kawalan emosi, daya fokus jangka panjang dan kematangan sosial untuk menyesuaikan diri dengan pembelajaran formal yang berstruktur.

“Kemasukan terlalu awal ke Darjah Satu tanpa sokongan menyeluruh berisiko mewujudkan tekanan pembelajaran, rasa gagal pada peringkat awal serta pembentukan persepsi negatif terhadap sekolah. Kesan ini bukan sementara ia boleh mempengaruhi sikap anak terhadap pembelajaran untuk jangka panjang.

“Sedangkan prasekolah, tadika, PASTI dan KEMAS telah lama memainkan peranan khusus untuk fasa perkembangan ini. Mengapa hendak tergesa-gesa memasukkan mereka ke Darjah Satu sebelum mereka benar-benar bersedia?

“Bagi ibu bapa pula, perubahan dasar ini mewujudkan tekanan emosi yang nyata. Mereka terpaksa membuat keputusan sukar antara tidak mahu anak ketinggalan dan keinginan melindungi kesejahteraan emosi anak,” ujarnya lagi.

Mengulas perbandingan dengan negara maju seperti Finland dan Korea Selatan, beliau berkata perbandingan itu tidak adil kerana Malaysia belum memiliki ekosistem pendidikan yang setara.

“Hujah kerajaan yang merujuk kepada amalan negara seperti Finland dan Korea Selatan adalah tidak adil kerana negara-negara tersebut memiliki ekosistem lengkap dengan nisbah murid-guru kecil, sokongan psikologi, latihan guru khusus dan kemudahan bertaraf tinggi.

“Malaysia masih bergelut pada tahap prasyarat mengambil umur kemasukan tanpa mengambil keseluruhan ekosistem hanyalah kosmetik reformasi, bukan perubahan struktural sebenar.

“Kami bimbang ini adalah retorik elit yang terpisah daripada realiti rakyat, khususnya keluarga B40 dan komuniti luar bandar di Pahang yang masih berdepan ketidaksamarataan akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya.

Sehubungan itu, PAS Pahang menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan cadangan tersebut dan memberi keutamaan kepada penyelesaian isu teras pendidikan sebelum memperkenalkan dasar baharu.- HARAKAHDAILY 27/1/2026

- Advertisement -