
PERJALANAN hidup Nabi Muhammad SAW sarat dengan pelajaran dan panduan buat kita meneruskan kehidupan. Apa yang dibawa oleh Baginda bukan sekadar teori, tetapi kebenaran yang telah dipraktikkan. Al-Quran diturunkan kepada Nabi SAW, dan Baginda sendiri menjadi contoh hidup bagaimana al-Quran diamalkan dalam setiap aspek kehidupan seharian.
Dalam perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW, ada peristiwa besar yang wajar kita renungi bersama. Selama tiga belas tahun Baginda berdakwah di Kota Makkah sebelum berhijrah ke Madinah. Nabi SAW adalah madrasah tarbiyyah pertama para Sahabat dan Baginda secara langsung mendidik ilmu, haraki dan sufi mereka. Setibanya di Madinah, kehidupan para Sahabat amat mencabar, khususnya dari sudut ekonomi. Hidup mereka serba kekurangan, miskin dan penuh kesempitan tetapi iman mereka sangat teguh untuk terus bangkit.
Sejarah merekodkan kisah seorang Sahabat yang ingin berkahwin tetapi tidak memiliki apa-apa harta. Lalu Rasulullah SAW menikahkannya hanya dengan mahar berupa hafalan al-Quran yang diajarkan kepada isterinya. Inilah bukti betapa sederhana dan sukar kehidupan ketika itu.
Kita juga diingatkan dengan peristiwa Perang Uhud, saat bapa saudara Nabi SAW, Saidina Hamzah RA, dan Sahabat yang sangat dicintai Baginda, Mus‘ab Umair RA, gugur syahid. Ketika jenazah mereka hendak dikafankan, kain yang ada tidak mencukupi. Jika ditutup kepala, kelihatan kaki; jika ditutup kaki, tersingkap kepala. Bahkan tiada lebihan kain daripada Sahabat lain untuk dikongsi.
Begitulah berat dan sukarnya kehidupan ekonomi para Sahabat. Satu realiti yang sukar dibayangkan, namun mereka tetap teguh beriman, sabar dan setia di jalan Allah SWT.
Kemudian berlaku Perang Ahzab pada tahun ke-5 Hijrah. Ketika Perang Ahzab, umat Islam berada dalam keadaan serba kekurangan di sudut tenaga dan makanan ketika proses menggali parit, sehingga para sahabat mengikat perut mereka dengan batu agar dapat menahan rasa lapar. Bahkan Rasulullah SAW sendiri mengikat perut Baginda dengan dua lapis batu.
Di samping itu, seramai kira-kira 10,000 orang musyrikin datang mengepung Kota Madinah dengan niat menghancurkan umat Islam. Dari sudut kekuatan dan persenjataan, umat Islam jauh lebih lemah. Namun kemenangan bukan datang kerana kehebatan manusia, sebaliknya kerana pertolongan Allah SWT. Allah SWT mengutuskan angin kencang yang memporak-perandakan barisan musuh, sehingga mereka berundur dalam kehinaan.
Selepas peristiwa itu, keadaan kehidupan umat Islam mula berubah ke arah yang lebih baik dan Allah SWT mengurniakan ketenangan dan kelapangan hidup kepada umat Islam. Kesusahan yang panjang diganti dengan keamanan, dan penderitaan berubah menjadi satu simpulan kekuatan iman, kekuatan ukhwah Islamiyyah, kekuatan akhlak Islamiyyah, berani serta semangat yang tinggi.
Dengan kekuatan dan keyakinan yang Allah SWT kurniakan, umat Islam mula melangkah dengan lebih berani. Mereka berangkat menunaikan umrah menuju ke Makkah, kota yang suatu ketika dahulu menjadi medan penindasan oleh kaum musyrikin ke atas umat Islam. Walaupun umrah tersebut tidak dapat dilaksanakan, mereka akur dan kembali ke Madinah kerana termeterainya Perjanjian Hudaibiyah, satu gencatan senjata selama sepuluh tahun yang menjadi titik perubahan besar dalam sejarah dakwah Islam.
Pada tahun ke-7 Hijrah, umat Islam kembali berangkat menunaikan umrah sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Hudaibiyah. Dalam tahun yang sama, Allah SWT juga mengurniakan kemenangan besar melalui penaklukan Khaibar. Khaibar merupakan kawasan penempatan kaum Yahudi yang terletak hampir 200 kilometer dari Kota Madinah.
Dengan izin Allah, Rasulullah SAW berjaya menaklukinya. Selepas Khaibar, keadaan ekonomi umat Islam semakin kukuh kerana kawasan tersebut terkenal dengan kebun-kebun kurma yang subur dan hasil yang melimpah. Sejak itu, kehidupan umat Islam menjadi lebih stabil dan selesa, hasil kesabaran dan keteguhan mereka dalam menghadapi ujian sebelumnya
Pada tahun ke-8 Hijrah, Allah SWT mengurniakan kemenangan yang amat agung kepada umat Islam, iaitu penaklukan Kota Makkah. Perjanjian Hudaibiyah yang sepatutnya berlangsung selama sepuluh tahun hanya bertahan sekitar dua tahun. Dari sudut perancangan manusia, tempohnya masih panjang, namun ketetapan Allah SWT menentukan sebaliknya.
Dalam perjalanan hidup ini, kita sering diuji untuk taat kepada perintah dan aturan Allah SWT walaupun terasa berat dan penuh cabaran. Namun apabila pihak musyrikin mengkhianati dan melanggar perjanjian yang telah dimeterai, maka Allah SWT membuka jalan kemenangan kepada umat Islam. Akhirnya, Rasulullah SAW bersama para Sahabat memasuki Makkah sebagai pembebas, membuktikan bahawa kesabaran, ketaatan dan tawakal tidak pernah sia-sia di sisi Allah SWT.
Setelah penaklukan Makkah, Nabi SAW mengatakan dalam sabdanya yang bermaksud:
“Tiada lagi hijrah selepas Fath Makkah, tetapi (masih ada) jihad dan niat.” (Hadis riwayat al-Bukhari no. 1834, 2783, 2825, 3077 & 3189 dan Muslim no. 1353 & 1864 daripada Ibn ‘Abbas RA dan ‘Aisyah RA serta athar daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA). Terdapat penambahan teks (وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا) – ‘Apabila kamu diperintah (pemerintah berjihad), maka berangkatlah’ di hujung hadis ini. Riwayat menyebut teks ini diucapkan oleh Rasulullah SAW semasa Fath Makkah.
Selepas penaklukan Kota Makkah, umat Islam mula menikmati kehidupan yang lebih tenang dan stabil. Keamanan terjamin, ekonomi semakin kukuh, dan kewibawaan umat Islam mula dihormati oleh seluruh bangsa Arab. Kemenangan ini membuka pintu hidayah yang luas kepada masyarakat Arab.
Tahun tersebut dikenali sebagai ʿAm al-Wufud (Tahun Delegasi), iaitu tahun ke-9 Hijrah, selepas Perang Hunain. Pada tahun inilah pelbagai kabilah Arab datang berbondong-bondong ke Madinah, bukan untuk berperang, tetapi untuk mengikrarkan keislaman mereka. Antara kabilah yang hadir ialah Bani Tamim, Bani Hanifah (termasuk Musailamah al-Kazzab) serta kabilah Thaqif dan banyak lagi.
Inilah bukti bahawa apabila Islam ditegakkan dengan sabar, taat dan berprinsip, Allah SWT membuka hati manusia untuk menerima kebenaran tanpa paksaan, dan kemenangan yang hakiki pun punyai wajah yang penuh rahmat.
Dan Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah SWT beramai-ramai.” (An Nasr: 2)
Kemasukan Islam secara besar-besaran ini berlaku selepas kemenangan di Mekah, di mana sebelum ini orang masuk Islam secara berasingan.
Semua ini menjadi bukti nyata pertolongan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan tanda kebesaran Islam yang terus berkembang. Namun perjuangan belum berakhir. Kita tidak wajar merasa terlalu selesa atau berada di zon aman, kerana hakikat ketenangan sebenar bukan di dunia ini. Titik aman dan nyaman yang hakiki hanyalah ketika kita mengakhiri kehidupan dengan husnul khatimah.
Jadi ditahun ke-9 itu di bulan rajab, terjadi peperangan yang terakhir yang dihadiri Nabi SAW. Peperangan terjauh yang pernah di tempuh oleh para sahabat pada Ketika itu bersama Nabi SAW. Peperangan terberat dengan jumlah pasukan terbanyak yang pernah terkumpul bersama Nabi SAW, iaitu perang tabuk. Perang ini menempuh perjalanan 700 kilometer. Kemudian, pada saat ini musim panas, yang biasanya di musim begini, orang lebih suka duduk di dalam rumah. Di Madinah juga mungkin ada vila-vila yang ada kebun kurma. Mereka ingin istirehat menuggu matangnya kurma kurma tiba-tiba diwajibkan pergi peperangan. Wajib berangkat.
Jadi jihad ada yang fardu ain dan ada yang fardu kifayah. Contohnya perang Badar, itu fardu kifayah kerana Rasulullah menyatakan yang mahu berangkat silakan. Jadi jumlah yang ikut tidak ramai, hanya sekitar 313 orang sahaja. Sahabat yang ikut Badar adalah mereka yang benar-benar menyerahkan mati hidupnya untuk berjuang di jalan Allah (fisabilillah) dan mempertahan aqidah dan agama dari ancaman kaum musyrik dengan keyakinan penuh bahwa Allah SWT akan menolong, seperti doa Nabi SAW saat melihat jumlah musuh yang jauh lebih ramai:
“Ya Allah, jika binasa kelompok ini (umat Islam), niscaya Engkau tidak akan disembah di muka bumi ini” (Riwayat Muslim).
Dalam Perang Tabuk, Rasulullah SAW dengan jelas menyatakan kepada para sahabat bahawa mereka akan berangkat ke Tabuk, itu fardu ain, Allah SWT mewajibkan berangkat perang. Biasanya Baginda tidak mendedahkan rancangan peperangan secara terbuka, kerana bimbang maklumat itu sampai kepada mata-mata musuh. Namun dalam kes ini, Nabi SAW bercakap terus terang. Mengapa? Kerana perjalanan yang bakal ditempuh sangat jauh, dan musuh yang dihadapi bukanlah bangsa Arab biasa, tetapi empayar Rom yang kuat. Nabi ingin memastikan setiap sahabat bersiap sedia, mental, emosi dan fizikal, untuk menghadapi perjalanan dan peperangan yang amat mencabar ini.
Bagi mereka yang tidak mempunyai bekal atau kenderaan, Allah SWT tidak mewajibkan berangkat. Namun, ujian yang dihadapi umat Islam pada ketika itu amat berat dengan musim panas yang terik, jarak perjalanan yang jauh, dan bekalan yang terbatas. Dalam situasi ini, Allah SWT menurunkan ayat-ayat teguran dan panduan kepada para sahabat, yang tercatat dalam Surah At-Taubah ayat 38 hingga 41 seperti di bawah.
Dengan izin Allah SWT, akhirnya terkumpul tentera seramai 30,000 orang, siap sedia menghadapi peperangan yang mencabar ini.
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.”
“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Taubah: 38-41)
Para Sahabat, walaupun telah terdidik oleh Rasulullah SAW, masih ada yang terasa berat hati untuk berangkat ke medan jihad, seolah-olah diri mereka ditarik oleh daya magnet dunia. Tidak semua sahabat, namun sebahagian terperangkap dengan godaan dunia. Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya bahawa nikmat dunia hanyalah sedikit berbanding dengan nikmat akhirat yang kekal abadi. Demikian juga sabda Nabi SAW menegaskan hakikat ini:
Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan dunia dengan akhirat adalah kalian mencelupkan jari kalian ke laut, kemudian diangkat, lihatlah dunia hanya air yang ada di jari tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim).
Inilah hakikat kehidupan dunia berbanding dengan lautan nikmat akhirat. Dunia walaupun sedikit, tetap mampu menggoda hati manusia. Bayangkan, ayat-ayat di atas diturunkan khusus kepada para Sahabat Nabi SAW untuk menyedarkan mereka. Maka, jangan pernah terlintas di fikiran kita bahawa setiap kemenangan atau perkembangan dakwah Islam adalah hasil semata-mata daripada usaha kita sendiri, seolah-olah kita yang paling berjasa. Jika kita tidak menolong perjuangan ini, Allah SWT pasti akan menolongnya. Inilah peringatan dan ancaman Allah SWT kepada para sahabat, agar mereka sentiasa tawakal dan tidak mengangkat diri melebihi kehendak-Nya.
Ingatlah pertolongan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ketika pemuda-pemuda Quraisy dari pelbagai kabilah bersiap sedia untuk membunuh Baginda sewaktu Baginda keluar rumah untuk berhijrah ke Madinah. Pada saat itu, tiada seorang pun manusia yang dapat menolong Baginda, semuanya bergantung sepenuhnya kepada pertolongan Allah SWT. Baginda diburu sehingga sampai ke pintu gua, tempat Baginda dan sahabatnya, Abu Bakar RA, bersembunyi. Dalam keadaan genting itu, Nabi SAW menenangkan Sahabatnya: “Lā taḥzan, jangan bersedih, sesungguhnya Allah SWT bersama kita.”
Dalam ayat 41 Surah At-Taubah, Allah SWT menyeru umat-Nya untuk berangkat berjihad, sama ada dalam keadaan bersemangat, berat, atau ringan. Tiada alasan berupa penat, malas, atau ragu-ragu, semua diperintahkan berangkat dengan jiwa dan harta mereka. Allah SWT menegaskan bahawa jihad dengan harta dan jiwa jauh lebih utama, kerana persiapan untuk peperangan memerlukan dana yang lebih besar daripada keperluan individu sendiri. Ayat-ayat ini diturunkan untuk menyuntik semangat para sahabat, agar mereka bersedia mengorbankan harta dan nyawa di jalan Allah.
Seperti yang dinyatakan di atas, kebiasaannya Rasulullah SAW merahsiakan tujuan dan tempat peperangan, kecuali dalam Perang Tabuk. Dalam peperangan ini, Baginda menjelaskan kepada para sahabat bahawa perjalanan yang bakal ditempuh sangat jauh dan memerlukan persiapan yang rapi, selain menghadapi musuh yang jumlahnya amat besar, pasukan Romawi. Nabi SAW memberitahu maksud ini supaya para sahabat dan kaum Muslimin dapat mempersiapkan diri sebaik mungkin. Baginda juga mengajak Sahabat-sahabat yang kaya untuk berinfak di jalan Allah SWT, bagi menanggung para mujahid yang kurang berkemampuan, agar semua mampu berangkat berjihad dengan sempurna.
Akhirnya, para Sahabat tampil dengan penuh pengorbanan. Saidina Umar menyerahkan separuh hartanya, Abdul Rahman bin Auf menyumbang 8,000 dirham, Uthman Affan 1,000 dinar, Abu Bakar RA menyerahkan seluruh hartanya, manakala sahabat-sahabat lain menyumbang wang atau bekalan makanan mengikut kemampuan masing-masing. Dengan sumbangan ini, terkumpul dana yang mencukupi untuk membeli unta dan menyiapkan perlengkapan peperangan. Sementara itu, orang-orang munafik hanya menjadi penonton, mengkritik dan mempertikaikan setiap kebaikan yang dilakukan para sahabat, tetapi mereka tidak mengambil bahagian langsung dalam perjuangan.
Ketika akan berangkat, Rasulullah SAW didatangi tujuh orang Sahabat Ansar yang fakir miskin. Mereka menyatakan kesediaan untuk turut serta dalam jihad, walaupun tidak memiliki apa-apa. Lalu Nabi SAW bersabda, “Aku tidak memiliki kenderaan untuk membawa kalian.”
Mendengar itu, mereka pulang dengan rasa sedih dan menangis kerana tidak memiliki apa-apa untuk disedekahkan.
Keluar dari masjid, Yamin ibn Ka’ab an-Nadhari bertemu dengan Abu Layla Abdurrahman ibn Ka’ab dan Abdullah ibn Mughaffal, yang sedang menangis. Yamin bertanya, “Apa yang membuat kalian bersedih?” Mereka menjawab, “Kami datang kepada Rasulullah SAW untuk turut serta dalam jihad, tetapi beliau tidak memiliki sesuatu yang dapat membawa kami, dan kami juga tiada bekal apa-apa.” Mendengar itu, Yamin ibn Ka’ab memberikan seekor unta kepada mereka dan juga kurma sebagai bekal. Dengan bantuan ini, mereka akhirnya dapat berangkat bersama Baginda ke medan jihad.
Seorang lagi dari tujuh Sahabat itu, Ulbah Zaid, pulang dengan hati penuh kesedihan. Malam itu ia tidak dapat tidur memikirkan dirinya yang tiada harta untuk berinfak atau membeli peralatan perang seperti Sahabat-sahabat lain. Lalu ia berwuduk dan menunaikan solat untuk menenangkan hatinya. Setelah itu, ia berdoa dengan penuh kehambaan:
“Ya Allah, Engkau memerintahkan berjihad, tetapi Engkau tidak memberikan aku sesuatu yang dapat kubawa untuk berjihad bersama Rasul-Mu, dan Engkau tidak memberikan di tangan Rasul-Mu sesuatu yang dapat membantuku berangkat. Maka saksikanlah, sesungguhnya aku sedekahkan kepada setiap muslim dari segala kezaliman yang mereka telah lakukan terhadap diriku, dari harta, diriku, dan kehormatanku.”
Keesokan paginya, Ulbah mengikuti solat Subuh bersama Rasulullah SAW. Setelah selesai solat, Baginda bersabda, “Siapa yang tadi malam telah bersedekah? Hendaklah ia berdiri.” Tiada seorang pun dari para sahabat yang bangun, dan Ulbah sendiri tidak merasa bahawa dia sudah bersedekah. Rasulullah SAW lalu mendekatinya dan berkata, “Bergembiralah, Ulbah. Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sedekahmu tadi malam telah ditetapkan sebagai sedekah yang diterima oleh Allah SWT.”
Alangkah bahagianya hati Ulbah. Doa yang ia panjatkan malam itu, meskipun ia miskin dan tiada harta, diterima sebagai sedekah. Sesungguhnya Allah SWT mendengar rintihannya. Kisah ini mengajar kita bahawa jika tiada harta untuk disumbangkan, tenaga dan usaha boleh dijadikan sedekah, dan jika itu pun tidak mampu, doa yang ikhlas juga termasuk amal kebaikan di sisi Allah SWT.
Akhirnya, terkumpul seramai 30,000 tentera Islam yang berangkat ke medan Tabuk. Semasa dalam perjalanan Rasulullah SAW sentiasa memeriksa barisan tentera untuk memastikan tiada seorang pun yang meninggalkan rombongan tanpa izin. Mereka yang tinggal di Madinah hanyalah orang-orang yang diperintahkan oleh Baginda seperti Ali bin Abu Talib RA yang ditugaskan menjaga kota Madinah, dan termasuk juga mereka yang lemah imannya, mereka yang uzur, pelaku maksiat dan golongan munafik.
Setelah beberapa hari Rasulullah SAW dan kaum Muslimin bergerak dari Madinah ke perang Tabuk, Abu Khaitsamah kembali pulang ke rumahnya pada hari yang sangat panas itu. Dia melihat dua isterinya sedang berada di dua khemah miliknya di kebun kurma, masing-masing membuat khemah sendiri, menyediakan air dan menyiapkan makanan untuk Abu Khaitsamah.
Ketika ingin memasuki pintu khemah, apabila melihat kedua isterinya dan makanan yang telah dipersiapkan, Abu Khaitsamah berkata: “Rasulullah SAW berada di bawah terik matahari dan udara yang sangat panas, sementara Abu Khaitsamah berada dalam naungan sejuk, makanan yang telah dipersiapkan, dan wanita cantik, dia (Abu Khaitsamah) menikmati hartanya.”
Lalu, dia berkata: “Demi Allah, aku tidak akan memasuki khemah kamu berdua hingga aku menyusul Rasulullah SAW, siapkan bekalanku.” Kemudian, kedua isterinya menyiapkan bekalan dan unta tunggangannya, lalu Abu Khaitsamah pergi mencari jejak Rasulullah SAW.
Setelah beberapa lama, dari kejauhan, kaum Muslimin nampak kelibatnya dan memberitahu Rasulullah SAW. Mereka berkata: “Ada penunggang yang datang.” Rasulullah berkata: “Mudah-mudahan Abu Khaitsamah.” Lalu, kaum Muslimin mengatakan: “Wahai Rasulullah, demi Allah dia Abu Khaitsamah.”
Kemudian, Abu Khaitsamah menghampiri Rasulullah SAW dan mengucapkan salam sambal menangis. Setelah Abu Khaitsamah menceritakan apa yang dia alami, Rasulullah SAW mengucapkan syukur dan mendoakan kebaikan untuknya dan beruntunglah Abu Khaitsamah kerana tidak termasuk orang yang tertinggal dari medan perang kerana godaan dunia.
Kemudian kisah Ada tiga orang Sahabat Nabi yang dicatat kisahnya di dalam al-Quran mengenai taubat mereka atas ketidak hadiran mereka di dalam perang Tabuk iaitu: Ka’ab Malik, Murarah bin Rabi’ah dan Hilal Umayyah. Mereka bukan tidak mahu berangkat tetapi mereka menunda-nunda atau bertangguh-tangguh dan berjanji akan mengejar Rasulullah SAW tapi akhirnya ianya menjadi impian yang sia-sia kerana Nabi SAW sudah pulang dari Tabuk.
Mereka bersikap jujur ketika bertemu Rasulullah SAW dan tidak menipu seperti golongan munafik yang memberikan pelbagai alasan ketika tidak ikut dalam perang Tabuk. Golongan munafik ‘dilepaskan’ begitu saja kerana kelak mereka akan mendapat balasan hukuman daripada Allah SWT, sedangkan para sahabat yang jujur tidak ikut perang diberikan ‘pengajaran’ sehinggakan Rasulullah SAW melarang kaum Muslimin untuk bercakap dengan mereka bertiga dan berlangsung berpuluh-puluh hari, ada yang mengatakan sehingga 50 hari. Ketika di masjid, di pasar atau di mana-mana sahaja mereka pergi, mereka tidak ditegur atau membalas bualan dan sapaan salam mereka.
Malah, mereka juga dilarang untuk mendekati isteri. Mereka menjadi sangat sedih dan menangis kerana dipulau sebegitu. Sehinggakan, ada utusan dari Raja Ghassan mengirim surat kepada Ka’ab Malik untuk mengajaknya bergabung kerana telah dipulau sebegitu, namun Ka’ab membakar surat itu kerana keimanannya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW tidak berbelah bagi.
Akhirnya, Allah SWT memberikan pengampunan atas kejujuran dan keikhlasan mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan daripada mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang);
“kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.
“Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita),
“serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari daripada (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya;
“kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah SWT, Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.” (At-Taubah: 117-119)
Penutup:
Inilah di antara kisah dari para Sahabat sebagai yang dapat memotivasikan kita dalam kehidupan dan perjuangan ini. Hal ini menyedarkan atau menginsafkan kita bahawa agama ini tidak perlukan kita, jadi jangan pernah berasa berjasa di atas apa yang sudah kita lakukan, merasakan kerana kitalah dakwah Islam berkembang, tanpa kita tak mungkin semuanya ini terjadi. Sesungguhnya ingatlah akan firman Allah SWT:
“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…….” (Al-Isra’: 7)
Ya, pepatah “what you give you get back” bermaksud kalau kamu berbuat baik, sebenarnya kamu sedang berbuat baik kepada diri kamu sendiri, adalah benar dan bertepatan dengan ajaran agama, terutamanya dalam Surah Al-Isra’ ayat 7 yang menyatakan bahawa kebaikan yang kita lakukan akan kembali kepada diri kita sendiri, sama ada dalam bentuk ketenangan jiwa, keberkatan hidup, atau balasan baik di dunia dan akhirat, manakala keburukan juga akan berbalik kepada diri sendiri. Hal ini memotivasikan kita bahawa berfikir dahulu sebelum melakukan kejahatan atau sesuatu yang tidak bermanfaat.
Jadi letakkan niat di dalam kehidupan dan perjuangan ini semata-mata kerana Allah SWT dan ikut Rasulullah SAW bagi mengelakkan tipu daya syaitan yang boleh memesongkan hati manusia. Apabila kita meletakkan Allah SWT dalam segala hal, insya-Allah jiwa kita tidak akan terikat dengan manusia. Yakinilah, jika kamu berbuat baik, sebenarnya kamu sedang berbuat baik pada diri kamu sendiri, begitu juga sebaliknya.
Jika kita tolong (agama) Allah, Allah SWT pasti akan menolong kita. Ini merupakan satu tawaran dan jaminan daripada Allah SWT untuk kita. Oleh itu, yang perlu kita kerjakan ialah menyempurnakan segala titah perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya dengan iklas, itqan, istiqamah dan tawakkal seperti kisah para sahabat yang sentiasa meletakkan keutamaan taat kepada Allah SWT dan Rasullullah SAW melebihi kepentingan diri mereka sendiri dalam apa sahaja keadaan.
Wallahu’alam
FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 18/1/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











