Tegas kawal BNPL guna Akta Kredit Pengguna 2025

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta melaksanakan Akta Kredit Pengguna 2025 bagi menyekat trend peningkatan skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) dan hutang kad kredit yang semakin membimbangkan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, perkembangan itu menuntut perhatian serius kerajaan, bank negara dan institusi perbankan supaya daya tahan kewangan isi rumah tidak terus terhakis kerana hutang.

Beliau berkata, budaya BNPL di negara ini semakin meningkat dengan sangat ketara menjelang tahun 2026 susulan digitalisasi gaya hidup dan keperluan kewangan fleksibel ditawarkan oleh SPayLater, Atome dan Grab PayLater.

“Ia menuntut perhatian serius daripada kerajaan, bank negara serta institusi perbankan agar daya tahan kewangan isi rumah tidak terus terhakis, khususnya dalam kalangan generasi muda berusia bawah 30-an dan 40-an.

“Akta yang diluluskan tahun lalu perlu dikuatkuasakan dengan tegas bagi melindungi pengguna risiko hutang dan muflis, serta memperkukuh literasi kewangan rakyat dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sepanjang separuh pertama 2025, nilai transaksi BNPL di negara ini mencecah RM9.3 bilion, satu jumlah yang besar berbanding RM7.1 bilion pada tempoh yang sama bagi tahun sebelumnya.

Selain itu sehingga Januari 2026 dianggar seramai 6.5 juta sehingga 7 juta pemegang akaun aktif yang menawarkan BNPL bagi perbelanjaan harian termasuk makanan dan pengangkutan dengan purata nilai transaksi dibawah RM100.

Mohd Syahir dalam kenyataan hari ini turut menambah, situasi itu menagih keprihatinan kerajaan bagi menilai semula kejayaan ekonomi menjelang 2026 yang menjadi tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata, kerajaan menilai kejayaan ekonomi melalui angka makro seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi, defisit fiskal dan kedudukan mata wang negara, ringgit berbanding dolar Amerika.

Namun kata beliau, ukuran kejayaan sebenar ekonomi negara tidak wajar terhenti di situ sahaja, sebaliknya menuntut satu penilaian yang lebih menyeluruh dan tidak terpisah dari realiti kehidupan rakyat di bawah.

“Atas kesedaran inilah, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan setiap dasar dan perancangan di bawah RMK13 dan Belanjawan 2026 diterjemahkan secara berkesan dalam bentuk program, projek dan bantuan yang benar-benar sampai kepada rakyat.

“Hakikatnya, kemiskinan dalam negara masih berterusan, termasuk kemiskinan pelbagai dimensi, dengan kebergantungan yang tinggi kepada bantuan tunai.

“Ini bukan masanya untuk menuding jari, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Baitulmal, sektor korporat, NGO dan komuniti setempat bagi meningkatkan ‘lantai dan siling’ ekonomi rakyat terbawah secara mampan.

“Pada masa yang sama, kos sara hidup kekal menjadi isu utama rakyat, khususnya golongan B40 dan M40. Walaupun inflasi keseluruhan dilaporkan terkawal, tekanan kos masih dirasai dalam perbelanjaan asas seperti perumahan, pendidikan dan perkhidmatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/1/2026

- Advertisement -