Palestin: Usah biar keletihan padam keberanian umat

- Advertisement -

MARANG: Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hussein Awang, menyeru anak-anak muda untuk memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan kebebasan Palestin.

- Advertisement -

Beliau berkata, perjuangan hari ini bukan hanya di medan senjata tetapi juga di medan pemikiran dan maklumat.

“Wahai anak-anak muda yang saya kasihi, inilah perjuangan dan tanggungjawab kita bersama. Inilah peranan dan tanggungjawab anda sebagai orang muda yang mempunyai keperkasaan dari sudut pemikiran dan juga sudut tenaga.

“Anda semua hidup di zaman maklumat. Gunakanlah ia untuk menyebarkan kebenaran, bukan menyebarkan kebencian. Gunakan media untuk membela yang tertindas, bukan memutihkan penindas. Jangan biarkan kebohongan mengalahkan kebenaran. Jangan biarkan keletihan memadamkan keberanian.

“Janji Allah dan keyakinan kita, iaitu kita hendaklah yakin bahawa Allah tidak pernah lalai terhadap kezaliman. Janganlah engkau menyangka bahawa Allah lalai terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang zalim,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia 2026 di perkarangan Masjid Rusila, di sini malam kelmarin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pengarah Jawatankuasa Induk Mingguan Al-Quds Sedunia, Ustaz Muhamad Hamdi Harun.

Hussein yang juga bekas Ahli Dewan Negara berkata, keimanan dan akal perlu menjadi panduan umat Islam dalam menolak penindasan.

“Kita berhimpun pada malam ini bukan kerana kebencian kepada sesiapa. Kita tidak datang membawa dendam. Kita tidak berkumpul kerana emosi yang meluap-luap tanpa arah, tanpa haluan.

“Sebaliknya, kita berhimpun kerana iman dan kerana kesedaran. Kita berhimpun kerana akal yang bertanggungjawab. Kita berhimpun kerana hati yang tidak sanggup berdiam diri apabila kezaliman berlaku di hadapan mata.

“Jika iman masih hidup dan ia tidak membenarkan kita diam. Jika iman masih hidup, iman tidak akan biarkan kita menutup akal kita masih waras, ia tidak membenarkan kita menutup mata dan jika hati masih punya rasa, ia tidak membenarkan kita berpaling daripada penderitaan saudara seagama sesama manusia,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, isu Al-Quds bukan sekadar persoalan wilayah atau bangsa tertentu, tetapi isu akidah umat Islam.

“Ia adalah peringatan kepada umat, peringatan kepada kita semua bahawa masih ada tanah bumi suci yang diberi dan dijajah. Masih ada rakyat yang seagama, sealiran fikiran sejarah dengan kita yang sedang dizalimi dan masih ada keadilan yang belum ditegakkan di kalangan umat manusia ini.

“Al-Quds bukan isu bangsa tertentu. Al-Quds bukan isu walau wilayah semata-mata. Al-Quds bukan isu yang boleh dipilih ataupun ditinggalkan sesuka hati. Al-Quds adalah isu akidah umat Islam.

“Masjidil Aqsa ialah kiblat pertama umat Islam. Masjid ketiga yang suci selepas daripada Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ia juga tempat Isra’ dan Mi’raj Rasulillahi SAW dan saksi di mana Baginda SAW menjadi imam sembahyang bersama dengan para anbiya.

“Malah mempertahankan Masjidil Aqsa bukannya isu sempit, tetapi ianya adalah tuntutan agama, tuntutan akidah dan juga merupakan amanah sejarah yang telah ditinggalkan oleh para nabi, para rasul AS,” katanya.

Dalam ucapannya, Hussein turut menyentuh situasi terkini Palestin, yang mana sejak Oktober 2023, puluhan ribu rakyat Palestin terkorban termasuk ramai kanak-kanak, wanita dan warga emas.

“Ratusan ribu lagi yang cedera, ramai kehilangan anggota badan, ramai cacat akal. Ribuan masih hilang, tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang dibom oleh musuh.

“Hospital, sekolah, masjid diruntuh, bekalan air elektrik dan juga makanan diputus dan ditiadakan. Seluruh gaza dijadikan penjara terbuka. Rakyatnya dihukum secara kolektif hanya kerana mereka wujud di tanah air sendiri.

“Ini bukan konflik seimbang. Ini bukan peperangan yang adil. Ini adalah penindasan terhadap rakyat yang terjajah,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Israel adalah bentuk penjajahan haram dan pembersihan etnik sistematik yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan nilai agama.

“Sebagai umat Islam, sebagai orang yang mengaku beriman kepada Allah SWT, kita tidak boleh berselindung di sebalik bahasa zulam apabila kezaliman begitu jelas, begitu terbuka.

“Apa yang dilakukan oleh Israel hari ini adalah penjajahan yang haram, pembersihan etnik secara sistematik, yang jenayah kemanusiaan yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta nilai agama.

“Israel bukan sekadar melanggar hak rakyat Palestin, tetapi mencabar prinsip asas kemanusiaan. Pembunuhan kanak-kanak bukan pertahanan diri, pengeboman hospital bukan keselamatan, pemusnahan seluruh bandar bukan keadilan. Itu kezaliman namanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/1/2026

- Advertisement -