
AHLI Parlimen DAP, Lim Lip Eng membantah penahanan wartawan kontroversi FMT, Rex Tan yang katanya sudah membuat kenyataan permohonan maaf di atas tindakannya.
Saya tidak pelik kalau DAP akan menjadi pihak yang pertama mempertahankan tindakan wartawan kontroversi tersebut.
Sebab sebahagian pembingkaian doktrinisasi yang disusun dan dibentuk oleh DAP terkandung dalam naratif persoalan yang dibangkitkan oleh wartawan berkenaan.
Kebebasan media bukan lesen untuk menyemai prasangka, merendah-rendahkan sensitiviti agama dan kaum mahupun membina naratif yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk dalam negara.
Dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama, sebarang naratif yang berpotensi menyalakan api perpecahan wajib ditangani secara tegas sebelum ia merebak dan dinormalisasikan dalam kalangan rakyat.
Isu ini bukan soal membungkam tugas seorang pengamal media, tetapi memastikan kewartawanan tidak diseleweng menjadi alat menyebarkan fahaman sempit yang boleh merosakkan asas keharmonian negara.
Persoalan wartawan tersebut bukan perkara kecil dan rakyat Malaysia tidak terlalu naif untuk gagal membaca ‘between the lines’ soalan tersebut.
Apa yang menjadi asas dalam soalan tersebut bukan kerana soal keterbukaan dan kebebasan seorang wartawan, tetapi gagasan pemikiran ultra kiasu dan cauvinis yang sudah bertapak sekian lama.
Kita tidak bimbang hanya kerana individu bernama Rex Tan dengan soalan tidak berasasnya itu, tetapi kita lebih bimbang jika gagasan pemikiran dan pendirian yang disampaikannya itu turut menjerat kelompok-kelompok yang lain. Bukankah ini suatu bentuk hasutan yang jelas?
YB USTAZ MOHD HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi – HARAKAHDAILY 18/1/2026











