
KEGELISAHAN rakyat terhadap wacana mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak lahir dalam ruang kosong, tetapi ia berakar daripada sejarah politik yang masih segar dalam ingatan. Khususnya apabila GST suatu ketika dahulu dijadikan antara senjata utama kempen Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan kerajaan Dato’ Sri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketika itu, GST digambarkan sebagai simbol kezaliman fiskal, punca kos sara hidup melonjak, dan bukti kegagalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengurus ekonomi.
Naratif tersebut bukan sekadar retorik politik, tetapi disokong dengan fakta kegagalan pelaksanaan, termasuk tunggakan bayaran balik cukai input melebihi RM30 bilion kepada peniaga antara 2015 hingga 2018. GST menjadi wajah kepada ketirisan, salah urus dan pemindahan beban kewangan kerajaan ke atas rakyat.
Namun hari ini, setelah PH menjadi sebahagian daripada kerajaan, pendirian itu kelihatan semakin kabur. Mutakhir ini wujud perbincangan untuk menilai semula GST, sedangkan kerajaan baharu sahaja melulus dan memperluaskan pelbagai bentuk cukai serta levi baharu ke atas rakyat.
Antaranya peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pengenalan cukai barangan mewah, cukai perkhidmatan digital, kenaikan caj-caj tertentu serta rasionalisasi subsidi yang memberi kesan langsung kepada harga barang dan kos hidup.
Perubahan ini mewujudkan satu paradoks besar dalam minda rakyat, apa yang dahulu ditentang habis-habisan, kini mula dinormalisasikan.
Di sinilah timbul persoalan kepercayaan, apabila Pengerusi BN, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, secara terbuka menyatakan hasrat untuk mengembalikan GST selepas PRU16. Kenyataan itu pula dibalas secara kritikal oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, merakamkan satu lagi siri percanggahan terbuka dalam satu kerajaan gabungan.
Lebih membimbangkan, isu sebesar dasar percukaian negara seolah-olah tidak diputuskan secara kolektif dan telus di peringkat gabungan, sebaliknya muncul sebagai kenyataan berasingan mengikut kepentingan politik masing-masing.
Dalam masa yang sama, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim cuba meredakan tekanan kos sara hidup melalui bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pelbagai skim sokongan bersasar.
Dari sudut data, peruntukan bantuan ini sememangnya meningkat dan menjangkau jutaan penerima. Namun hakikat di lapangan menunjukkan bantuan tunai tidak mampu menampung kesan struktur kos hidup yang terus meningkat akibat peluasan cukai, pengurangan subsidi dan kenaikan harga barangan asas.
Inilah sebab utama mengapa rakyat masih tidak gembira, walaupun angka bantuan kelihatan besar di atas kertas. Rakyat merasakan mereka memberi lebih banyak kepada kerajaan melalui cukai dan kos, tetapi hanya menerima semula dalam bentuk bantuan sementara yang tidak menyelesaikan akar masalah.
Bantuan dirasakan hanya menjadi penampal jangka pendek, manakala tekanan kos hidup bersifat berpanjangan.
Lebih mendasar, semua ini memperlihatkan satu kegagalan pemikiran fiskal yang konsisten iaitu kerajaan gagal membina model penjanaan pendapatan negara secara mampan tanpa bergantung kepada cukai rakyat.
Malaysia memiliki sumber minyak dan gas, mineral bernilai tinggi, hasil hutan, aset strategik serta GLC yang besar, namun ketirisan, salah urus dan kebergantungan kepada pendekatan lama terus menghakis potensi hasil sebenar. Apabila hasil bocor dan tidak dioptimumkan, cukai menjadi jalan pintas paling mudah.
Kesimpulannya, kemarahan dan kekecewaan rakyat hari ini bukan semata-mata soal GST, SST, STR atau SARA, tetapi soal konsistensi prinsip dan kejujuran politik.
GST pernah dijadikan simbol kezaliman untuk menjatuhkan kerajaan lama, tetapi kini dibicarakan semula dalam suasana kerajaan yang sama-sama bergelut dengan krisis kewangan.
Kerajaan sudah ternyata gagal membuktikan bahawa mereka mampu mengurus hasil negara dengan cekap, menghentikan ketirisan dan mengagihkan peruntukan secara adil.
Kini dengan peluasan segala cukai, walau dibungkus dengan bantuan tunai, ia tetap dilihat sebagai pemindahan beban kegagalan daripada kerajaan kepada rakyat.
IQMAN IBERAHIM – HARAKAHDAILY 18/1/2026











