UEC: Jangan institusikan pengasingan, tolak tekanan politik DAP

- Advertisement -

IPOH: PAS Perak memandang serius desakan DAP menuntut kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan menegaskan bahawa isu dasar pendidikan nasional tidak sewajarnya ditentukan melalui tekanan politik kepartian.

- Advertisement -

​Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, sebarang reformasi pendidikan dalam konteks Malaysia yang majmuk mestilah bertujuan mengukuhkan integrasi kaum, bukannya menginstitusikan pengasingan.

​Beliau memberi amaran, sistem yang beroperasi di luar kerangka kebangsaan berisiko memperluaskan jurang sosialisasi antara kaum hingga akhirnya boleh melemahkan asas perpaduan negara.

​“PAS Perak mengambil maklum dan menghormati pandangan akademia yang konsisten menegaskan bahawa UEC masih belum selaras dengan struktur dasar pendidikan kebangsaan, khususnya dari sudut kurikulum teras, integrasi sosial serta kedudukan Bahasa Melayu.

​“Jika pengiktirafan diberikan tanpa penyelarasan menyeluruh, negara akan berdepan dengan dua standard pendidikan yang berbeza, sekali gus menjejaskan usaha menyeragamkan kualiti pendidikan untuk semua rakyat,” katanya.

​Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming baru-baru ini menyatakan partinya akan bertemu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menuntut pengiktirafan UEC.

​Nga dalam kenyataannya turut meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan tidak khuatir kerana DAP mendengar suara mereka demi memastikan negara terus maju.

​Mengulas lanjut, Idris yang juga Naib Presiden PAS menegaskan bahawa dasar pendidikan tidak boleh diasaskan kepada pengalaman individu atau naratif peribadi pihak tertentu.

​Sebaliknya, ia mesti mengambil kira maqasid pendidikan iaitu membina insan, memperkukuh perpaduan dan mengangkat bahasa kebangsaan.

​“Dasar dan sistem pendidikan merupakan platform utama dalam membina identiti kebangsaan, justeru segala perubahan besar perlu dinilai secara berhati-hati dan berasaskan kepentingan negara jangka panjang.

​“Negara tidak boleh dikemudi oleh tuntutan jangka pendek yang mengabaikan implikasi masa depan. Sehubungan itu, PAS Perak menegaskan bahawa desakan DAP untuk mengiktiraf UEC perlu ditolak,” tegasnya.

​Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut menyeru kerajaan agar kekal tegas mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik yang boleh menjejaskan kestabilan sosial serta identiti kebangsaan. – HARAKAHDAILY 13/12/2025

- Advertisement -