
KUALA LUMPUR: Setiausaha Payung Besar Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya menegaskan penganjuran Konvensyen Melayu 153 bertujuan menyedarkan orang Melayu mengenai keperluan bersatu mempertahankan kedudukan dan kedaulatan Tanah Melayu selepas 68 tahun kemerdekaan dicapai.
Beliau berkata, kemerdekaan Tanah Melayu bukan diperoleh dengan mudah, sebaliknya hasil perjuangan orang Melayu yang terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan tentangan.
“Kita semua sedia maklum bahawa kemerdekaan Tanah Melayu ini tidaklah dicapai dengan semudah yang kita fikirkan. Ia adalah hasil daripada perjuangan orang-orang Melayu pada waktu itu,” ujarnya dalam ucapan aluan Konvensyen itu di Dewan Tunku Abdul Rahman, Saloma di sini hari ini.
Menurut beliau, penganjuran konvensyen itu juga berhadapan pelbagai cabaran dan tomahan, namun kepimpinan tertinggi Sekretariat Orang Melayu tetap bertekad untuk meneruskannya.
“Bab umpama bila sauh kapal diangkat, jangankan ombak, malah ribut sekalipun berpatah balik tidak sama sekali,” jelasnya membacakan pepantun patah orang-orang Melayu yang menunjukkan hebat dengan kata-katanya.
Marzuki berkata, selepas hampir tujuh dekad kemerdekaan, orang Melayu kini berada di persimpangan sama ada terus kekal sebagai tuan di Tanah Melayu atau membiarkan kedudukan itu terhakis.
Beliau menegaskan, konvensyen berkenaan diilhamkan bagi mengajak orang Melayu bersatu di bawah satu payung besar tanpa mengira latar belakang dan perbezaan ideologi.
“Sebab itulah ilham untuk mengadakan konvensyen ini adalah untuk menyedarkan orang Melayu bahawa pentingnya kita hari ini berjuang bukan berlandaskan ideologi persefahaman masing-masing, tetapi di bawah payung besar orang Melayu.
“(Kita) mengajak orang Melayu tak mengira apa latar belakang, di mana kesilapan kita yang dahulu kita perbaiki, bergerak sebagai orang Melayu untuk mempertahankan Tanah Melayu ini,” tegasnya.
Menurut beliau, konvensyen itu bukan bersifat sementara, sebaliknya akan diteruskan dengan gerakan lebih besar di seluruh Semenanjung.
“Sebab itulah kita menghidupkan konvensyen ini dan konvensyen ini bukan berakhir di saat ini. Selepas ini kita akan menggerakkan seluruh orang Melayu di seluruh Semenanjung ini untuk bangkit melawan pengkhianat bangsa ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/12/2025











