
PERDEBATAN mengenai etika berpakaian di premis kerajaan dan penentangan terhadap penutupan kedai judi di Kedah seolah-olah dua isu yang tiada kaitan. Namun jika diamati dengan teliti, dan dilihat dengan mata hati yang menitikberatkan adab serta moral, kedua-duanya sebenarnya berkait rapat.
Ia berbeza tahap tetapi berpunca daripada persoalan sama iaitu bagaimana kita memandang moral, adab dan tatasusila dalam ruang awam?
Isu seorang wanita yang diminta mematuhi etika pakaian sebelum dibenarkan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin mencetuskan kritikan hebat sehingga Kabinet mengarahkan semakan semula pekeliling etika berpakaian sektor awam.
Tidak dapat dinafikan, antara suara paling lantang ialah daripada pimpinan DAP, yang menuntut pelonggaran syarat pemakaian di premis kerajaan atas nama akses rakyat kepada perkhidmatan.
Dalam masa yang sama, di Kedah, pimpinan dan peguam DAP juga terlibat membantu tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan negeri yang menghentikan pembaharuan lesen premis judi sejak 1 Januari 2023.
Diletakkan kedua-dua episod ini sebelah-menyebelah, timbul satu persoalan besar, apakah kompas moral yang sedang memandu tindakan politik mereka?
Dalam isu etika berpakaian, kita perlu bermula dengan fakta. Pekeliling berkaitan pengurusan perhubungan pelanggan sektor awam yang dikeluarkan pada 1 Disember 2020 memang menetapkan garis panduan pakaian yang sopan dan beradab bagi mereka yang berurusan di premis kerajaan, selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara – Kesopanan dan Kesusilaan.
Dalam kes di Melaka, pihak polis menjelaskan bahawa wanita tersebut tidak dihalang terus, sebaliknya diminta menukar pakaian terlebih dahulu kerana keadaan itu bukan kecemasan dan beliau masih berupaya mengurus dirinya.
Jika keadaan darurat, sudah tentu tindakan berbeza akan diambil. Dari sudut fiqh, prinsip ini selari dengan kaedah “al-darurat tubih al-mahzurat” – darurat boleh melonggarkan perkara yang asalnya dilarang.
Justeru, kerajaan kemudiannya memperincikan bahawa dalam kes kecemasan, etika pakaian boleh diketepikan demi menyelamatkan nyawa dan keselamatan.
Namun di luar keadaan darurat, adakah wajar etika berpakaian yang bertujuan mendidik masyarakat supaya menghormati ruang rasmi kerajaan digambarkan seolah-olah satu bentuk kezaliman?
Di sini timbul persoalan, antara anggota penguat kuasa yang cuba menegakkan garis adab minimum dan mereka yang mendesak garis ini dilonggarkan atas nama kebebasan berpakaian, siapa sebenarnya lebih mempertahankan nilai kesopanan yang menjadi asas masyarakat kita?
DAP pertahan judi
Belum reda isu etika berpakaian, muncul pula keputusan kehakiman berkenaan rayuan Kerajaan Kedah dalam isu judi, yang membawa kita ke medan moral yang lebih jelas.
Kerajaan negeri Kedah telah membuat keputusan untuk tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri bermula 1 Januari 2023, dengan tujuan mengurangkan mudarat sosial dan kewangan yang menimpa rakyat akibat ketagihan judi.
Keputusan ini bukan sahaja selari dengan ajaran Islam yang menjadi asas dasar Negeri Kedah, tetapi dari sudut budaya dan kesihatan sosial, hampir tiada aliran pemikiran serius yang berani mendakwa judi membawa kebaikan.
Pelbagai kajian dan laporan, termasuk dari agensi kerajaan, mengesahkan kaitan perjudian dengan hutang, keruntuhan institusi keluarga, jenayah dan masalah kesihatan mental.
Namun tindakan kerajaan Kedah ini telah dicabar oleh beberapa individu dengan bantuan Biro Perundangan Kebangsaan DAP, yang memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Menteri Besar Kedah.
Mahkamah Tinggi dan kemudiannya Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bahawa kerajaan negeri telah bertindak di luar bidang kuasanya dalam hal pelesenan perjudian yang diletakkan di bawah kuasa Persekutuan.
Dari sudut undang-undang, DAP berhujah bahawa mereka mempertahankan hak warga Kedah dan keluhuran Perlembagaan.
Tetapi memadai kah alasan ini, sedangkan dari sudut moral, di mata rakyat biasa, tindakan mempertikaikan usaha mengurangkan perjudian tetap kelihatan seperti membela industri yang diketahui umum membawa mudarat yang besar?
Di sinilah kita perlu berani bertanya beberapa soalan yang tidak selesa.
Mengapa dalam isu yang jelas bermotif mendidik adab sopan di premis kerajaan, suara yang lantang muncul ialah suara menentang dan mempersoal, bukannya menyokong penegasan nilai kesopanan?
Mengapa garis minimum adab – yang tidak sampai pun memaksa orang menganut agama tertentu – dijadikan sasaran seolah-olah ia simbol penindasan?
Dalam isu judi pula, mengapa ada usaha bersungguh untuk membuka semula ruang kepada satu aktiviti yang hampir semua agama dan budaya di negara ini labelkan sebagai tidak bermoral?
DAP boleh menjawab bahawa mereka hanya memperjuangkan hak bukan Islam, kebebasan individu atau prinsip perlembagaan.
Namun moral politik tidak diukur pada hujah teknikal undang-undang semata-mata, tetapi pada mesej yang dihantar kepada masyarakat.
Adakah kita berdiri di sisi usaha membina masyarakat yang lebih beradab dan bermaruah, atau kita memberi isyarat bahawa apa sahaja boleh dikompromi asalkan selari dengan naratif kebebasan yang sempit?
Rakyat Malaysia yang prihatin terhadap masa depan negara – khususnya umat Islam yang menjadikan al-Quran sebagai panduan – tidak boleh memandang ringan dimensi moral dalam keputusan politik.
Menyokong pihak yang menentang etika berpakaian yang sopan di premis kerajaan, dan pada masa yang sama mempertikaikan usaha menyekat judi, secara praktikalnya memberi nafas kepada budaya yang menghakis adab dan menormalisasikan maksiat atas nama hak individu. Allah SWT mengingatkan kita:
“Dan sesiapa yang memberikan bantuan (sokongan) kepada syafaat yang buruk, nescaya dia juga akan mendapat bahagian dosa daripadanya.” (Surah al-Nisā’, 4:85)
Ayat ini menegaskan bahawa mereka yang membantu menyuburkan keburukan – sama ada melalui undang-undang, pengaruh politik atau sorakan sokongan – turut berkongsi dosa dengan pelaku.
Dalam konteks ini, keputusan politik bukan lagi soal strategi parti semata-mata, tetapi soal posisi kita di sisi Allah dan di hadapan sejarah.
Masa depan negara ini seharusnya ditentukan oleh parti-parti politik yang berani meletakkan moral dan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan jangka pendek.
Isu etika berpakaian dan judi hanyalah dua contoh yang sedang menguji kejujuran semua pihak.
Parti yang sanggup mempertahankan kesopanan di ruang awam dan bersikap tegas terhadap judi sebenarnya sedang membantu mengukuhkan benteng sosial negara.
Parti yang memilih untuk mempersendakan etika dan mempertahankan ruang judi walau dengan hujah undang-undang perlu bersedia dinilai dari sudut kompas moralnya.
Masa depan Malaysia akan bergantung kepada parti yang berintegriti, yang bukan sahaja adil kepada semua dari segi hak dan layanan, tetapi juga berani memimpin masyarakat ke arah akhlak yang lebih tinggi, bukannya menyeretnya ke arah normalisasi maksiat dan kehilangan maruah.
Terserahlah kepada pengundi menilai, parti mana yang paling hampir dengan neraca moral ini.
DR MUKHTARUDDIN MUSA
Ketua Penyelidik (Governans & Polisi)
Yayasan Strategik Lestari – HARAKAHDAILY 13/12/2025











