
KUANTAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, Ayub Ashri berkata, para penduduk merasa bimbang apabila kerja awal Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kenau dilaksanakan.
Menurutnya, mereka semakin bimbang apabila kerja awal projek RTB itu didapati menimbulkan risiko baharu seperti tebing runtuh, hakisan serius dan peralatan projek hanyut ketika banjir.
Katanya, walaupun projek bernilai RM100 juta itu penting dan disokong dari segi prinsip, perkembangan awal menunjukkan kawasan yang sebelum ini berisiko rendah kini bertukar menjadi berisiko tinggi akibat pendedahan tebing dan perubahan aliran sungai.
“Kita tidak mahu projek yang bertujuan mengurangkan risiko banjir akhirnya mencetuskan masalah baharu pula kepada penduduk,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Beliau telah membangkitkan isu itu dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15, di sini, baru-baru ini.
Ayub berkata, kerajaan negeri perlu memastikan setiap fasa kerja dipantau secara rapi termasuk kaedah penggalian, kedudukan jentera serta tahap keselamatan tebing.
Menurutnya, penduduk yang tinggal berhampiran sungai adalah pihak terawal melihat perubahan aliran air dan melaporkan hakisan yang berlaku dengan cepat.
Beliau mengemukakan enam persoalan utama untuk perhatian kerajaan negeri, antaranya jadual terkini pelaksanaan RTB, kaedah pemantauan kerja, pengambilan kira aliran air bukit dan saliran kampung, pelaksanaan sesi libat urus berkala, jaminan penyelenggaraan selepas projek siap pada 2026 serta kewujudan saluran maklumat rasmi seperti laporan berkala atau sesi penerangan.
Ayub turut mencadangkan supaya kerajaan memperketat pemantauan projek dengan laporan berkala, melaksanakan kajian teknikal komprehensif termasuk kestabilan tebing dan aliran air bukit.
Di samping itu, ujarnya, menyediakan saluran maklumat rasmi, mengadakan libat urus tetap bersama penduduk dan memastikan penyelenggaraan berterusan serta penguatkuasaan larangan pembangunan di zon rizab sungai.
“Kita mahu projek ini benar-benar mengurangkan risiko banjir, bukan menambah ancaman kepada penduduk,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 13/12/2025











