
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan PAS mengamalkan politik damai apabila mendukung kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ia susulan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menzahirkan sokongan parti itu terhadap kerajaan negeri diterajui Hajiji pasca PRN17 Sabah.
“Dengan kemenangan satu kerusi tunggal atas tiket PN (Perikatan Nasional), ADUN PN-PAS Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah akan dapat melaksanakan tugasnya selaku wakil dipilih rakyat.
“Dan insya-Allah membuktikan kualiti serta kepimpinan berintegriti dan berakhlak yang sangat diperlukan di Sabah,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Beliau menambah, rakyat Sabah berpeluang menilai khidmat seorang wakil rakyat yang dilahirkan oleh PAS dan seterusnya membuat keputusan terbaik demi masa depan negeri itu.
“Selamat menjalankan tugas Ketua Menteri dan ADUN Karambunai. Rakyat sedang memerhati,” katanya.
Semalam, Dr Aliakbar mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim berkata, keputusan tersebut dibuat melalui perbincangan bersama presiden parti dan dimaklumkan di dalam mesyuarat bersama PN sebelum ini.
Terdahulu juga pada 8 Oktober 2020, Dr Aliakbar dilantik sebagai ADUN Lantikan menjadikan beliau pemimpin pertama PAS Sabah menjadi ADUN di negeri itu.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-17 yang berlangsung 29 November lalu, Dr Aliakbar yang memperoleh 7,054 undi memenangi kerusi DUN Karambunai menewaskan 10 calon lain dengan majoriti 365 undi. – HARAKAHDAILY 12/12/2025











