
KUANTAN: Jambatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Damak yang rosak sejak Disember 2021 masih belum siap dibina sepenuhnya meskipun tarikh penyiapan projek dijadualkan pada 7 Disember lalu.
Ustaz Zuridan Daud (PN-Damak) berkata, jambatan berkenaan merupakan laluan utama yang digunakan para pelajar setiap hari dan berfungsi sebagai nadi keselamatan mereka untuk ke sekolah.
Menurut beliau, berdasarkan papan tanda projek di lokasi, pembinaan jambatan baharu direkodkan bermula pada tahun 2025 dengan tarikh siap turut ditetapkan pada 7 Disember 2025.
“Namun sehingga hari ini ia masih belum dapat digunakan. Keadaan ini menyebabkan pelajar menggunakan laluan yang kurang selamat risiko kecelakaan semasa musim hujan dan banjir dan kesulitan ibu bapa menghantar anak sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Sri Pahang, semalam.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya tarikh siap baharu yang lebih realistik ditetapkan dan dipantau secara berterusan oleh pihak berkenaan.
Selain itu, katanya, laporan kemajuan projek juga perlu dibuat secara berkala kepada masyarakat setempat bagi memastikan ketelusan.
“Tindakan tegas juga wajar diambil terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











