
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad mempersoalkan sama ada kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi benar-benar mewakili suara akar umbi parti itu yang rata-rata menolak kerjasama dengan DAP.
Beliau berkata, walaupun tidak pelik dengan kenyataan Puad yang beria-ia mahu meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), namun persoalan utama ialah adakah ia selari dengan kehendak ahli bawahan Umno.
“Persoalannya, adakah beliau benar-benar mewakili suara akar umbi Umno yang rata-rata menolak kerjasama Umno-DAP ini? Akhirnya, biar rakyat dan ahli Umno sendiri menjadi hakim. Saya yakin kenyataannya tidak mewakili akar umbi dan sebahagian besar pimpinan Umno yang saya temui,” katanya.
Mengulas lanjut, Idris membangkitkan situasi politik di Johor sebagai bukti kepincangan kerjasama ‘Kerajaan Perpaduan’ yang dilaungkan pemimpin Umno itu.
Ujarnya, sebelum bercakap jauh mengenai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Umno sepatutnya melihat cermin realiti di negeri kubu kuat mereka sendiri.
“Di Johor sendiri, sudah wujudkah bentuk kerjasama Kerajaan Perpaduan seperti yang diuar-uarkan? Sebelum bercakap soal PRU16, elok dibentuk dahulu kerjasama sebenar dalam kerajaan negeri Johor,” ujarnya.
Idris turut menyifatkan Puad dilihat ‘terlajak jauh’ dalam kenyataan politiknya, seolah-olah menjadi benteng mempertahankan DAP semata-mata kerana sikap marahnya terhadap PAS dan BERSATU.
“Seolah-olah sesiapa yang mengkritik DAP, maka Dr Fuad akan menjadi benteng mempertahankannya. Teruskanlah, jika itu pendirian beliau untuk menyambung talian hayat politik atau mungkin juga memutuskan urat marih politiknya sendiri,” katanya.
Beliau turut mengakui mengenali karakter Puad sejak zaman pemimpin Umno itu bersama PAS lagi.
Media melaporkan, Puad mencabar MCA agar menentukan kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) sekarang tanpa perlu menunggu pendirian Umno.
Puad dalam kenyataannya mendakwa Umno berhasrat meneruskan kerjasama dengan PH, termasuk DAP pada PRU16 akan datang, sambil menuduh MCA sekadar mencari alasan untuk meninggalkan BN susulan kekalahan teruk DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 8/12/2025











