Wang Tunai Pahang berkurangan RM127.84 juta

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUANTAN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan kebimbangan berhubung kedudukan wang tunai negeri yang menunjukkan penurunan ketara.

- Advertisement -

Beliau berkata, jika dibandingkan, kedudukan Wang Tunai Negeri Pahang pada 2024 telah berkurangan sebanyak RM127.84 juta kepada RM256.23 juta dari tahun sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 33 peratus.

“Jika dilihat kepada Laporan Penyata Kewangan, kedudukan Wang Tunai pada 2024 lebih rendah berbanding tahun 2021, tahun kita berada dalam fasa pemulihan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada persidangan DUN di Dewan Sri Pahang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara punca utama penurunan adalah hasil kutipan daripada Hasil Bukan Cukai yang menurun.

“Kita bimbang trend penurunan ini terus jatuh pada tahun 2025 atau tahun 2026 akan datang.

“Kerajaan tidak menyatakan langkah proaktif bagaimana untuk kita membiayai ataupun memastikan wang tunai yang kukuh bagi mengelak keadaan ini berterusan,” ujarnya yang juga ADN Cheka.

Ini, kata beliau supaya perbelanjaan negeri tidak akan terhalang termasuk projek-projek yang telah diumumkan.

“Kita isytihar tapi kalau kita tidak dana yang cukup, dia akan berdepan dengan masalah waktu pelaksanaan nanti.

“Saya hanya ingin dapat penjelasan tentang mekanisme untuk kita berdepan dengan situasi di luar jangka dengan dana-dana yang kita semakin berkurangan kerana kos pengurusan yang meningkat sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/2025

- Advertisement -