
KUANTAN: Mujibur Rahman Ishak (PN-Chenor) menggesa kerajaan negeri memberi penjelasan terperinci berhubung status terkini projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Chenor yang telah lama terbengkalai.
Beliau turut minta kerajaan negeri menjelaskan sejauh mana usaha yang telah diambil bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan sepenuhnya.
“Jaminan kerajaan untuk menyiapkan, sebab saya melihat kawasan saya, saya juga biasa juga lalu situ tengok banyak lagi asas-asas yang perlu, mungkin saya mengharapkan dapatlah jaminan yang dapat diberikan.
“Bilakah dijangka rumah-rumah PAKR Chenor tersebut dapat diduduki oleh penduduk yang layak?” soalnya ketika mengemukakan soalan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri Pahang, di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam masa sama, beliau juga mempersoalkan sama ada kerajaan negeri bercadang untuk membuka semula permohonan baharu kepada penduduk setempat yang masih belum memiliki kediaman sendiri, mengambil kira tempoh kelewatan yang terlalu lama.
“Adakah kerajaan dapat memberi jaminan bahawa harga jualan unit tersebut dapat memenuhi daftar standard B40,” ujarnya lagi.
Menjawab soalan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerajaan negeri telah mengambil alih projek itu melalui Lembaga Perumahan dan Harta Tanah Pahang serta Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Beliau berkata, projek yang asalnya dilaksanakan pemaju swasta tidak dapat diteruskan sejak 2012 kerana beberapa sebab tertentu.
“Kerajaan negeri kemudian mengambil alih projek berkenaan, yang kini telah mencapai 60 peratus siap,” katanya.

Projek PAKR itu dimajukan sebuah syarikat tempatan dengan kos sendiri di bawah projek silang kerajaan negeri yang mula pembinaan pada 1999.
Kerajaan menukar projek itu dengan tanah seluas 26 hektar di Mukim Bukit Segumpal sebagai anugerah dan hanya sempat dalam pembinaan sehingga 2011.
Namun projek terbabit didakwa mula terbengkalai mulai 2012. Difahamkan sebanyak 186 unit rumah telah dibina di kawasan terbabit. – HARAKAHDAILY 8/12/2025











