
DEMOKRASI yang suatu ketika dijulang sebagai sistem yang mampu memartabatkan suara rakyat, mutakhir ini tampak dirogol oleh tangan-tangan yang pernah berteriak mengenai ‘kebebasan bersuara’ dan pembaharuan politik.
Di pelbagai penjuru dunia, demokrasi terus diratah oleh kerakusan kuasa dan diseret oleh kelompok yang memperalatkan mandat rakyat demi agenda sempit mereka.
Prinsip kedaulatan rakyat yang menjadi tulang belakang peradaban politik moden semakin dikhianati, digantikan dengan amalan yang menormalisasi pemusatan kuasa, campur tangan politik serta manipulasi institusi negara.
Di tengah-tengah lanskap yang semakin gelap ini, demokrasi tidak lagi tegak sebagai sistem yang melindungi rakyat, tetapi berubah menjadi alat pengabsahan pemerintahan yang rakus.
Amanah rakyat semakin diperkudakan dan suara perbezaan dipinggirkan, demokrasi bukan sekadar melemah, ia dicabuli secara terbuka, meninggalkan luka mendalam pada maruah negara dan mengancam masa depan generasi akan datang.
Fenomena ini bukan terpencil. Amerika Syarikat juga sendiri menyaksikan bagaimana tokoh seperti Donald Trump melemahkan institusi melalui retorik populis, tekanan politik dan percubaan mencampuri urusan negara lain demi kelangsungan agenda sendiri.
Penyakit demokrasi yang sama turut menular ke banyak negara, termasuk Malaysia, di mana parti-parti politik arus perdana daripada Umno kepada PKR dan bergelut dengan perebutan kuasa dalaman, peminggiran ahli akar umbi dan keputusan strategik yang sering mengkhianati mandat penyokong.
Di peringkat antara Kerajaan Pusat dan negeri, hubungan Persekutuan yang sepatutnya berteraskan hormat dan profesionalisme turut tercedera. SG4 menjadi contoh jelas bagaimana kerajaan negeri diperlakukan secara tidak setara, seolah-olah demokrasi hanya menghormati pihak yang memegang Putrajaya.
Dewan Rakyat dimanipulasi
Penganalisis politik sering mengingatkan bahawa apabila kerajaan mula mengamalkan ‘tyranny of the majority’, maka demokrasi hanya tinggal rangka.
Ahli akademik menegaskan bahawa sistem berparlimen yang sihat menuntut ruang adil kepada blok pembangkang ruang berhujah, membahas dan mencelah secara profesional bukan disekat dengan ugutan kuasa Speaker atau manipulasi proses Dewan.
Dalam banyak sidang, Speaker Parlimen dilihat bertindak secara berat sebelah, mengherdik dan menekan Ahli Parlimen pembangkang, malah menghalang ruang perbahasan yang sah. Para pakar demokrasi menilai tindakan seperti ini sebagai pencabulan fungsi institusi legislatif yang menjadi tiang seri demokrasi.
Antara contoh terdekat ialah tindakan membawa usul menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang hanya bergantung pada kekuatan angka semata-mata.
Langkah itu membuka satu preseden yang amat berbahaya; majoriti bukan lagi digunakan untuk menegakkan disiplin Dewan, tetapi untuk menundukkan suara lawan.
Dalam negara yang berbilang suara dan berhasrat mempertahankan maruah institusi legislatif, tindakan sebegini menyalakan isyarat bahawa Parlimen sedang digerakkan mengikut selera kuasa, bukan berasaskan prinsip keluhuran demokrasi yang sepatutnya dipertahankan.
Lebih membimbangkan, semakin banyak soalan lisan di Dewan Rakyat tidak dijawab secara tuntas oleh pihak kerajaan, termasuk dalam sesi yang dikendalikan oleh Perdana Menteri sendiri. Jawapan yang berputar-putar, mengelak, atau tidak menyentuh inti persoalan menzahirkan budaya pertanggungjawaban yang semakin longgar.
Rakyat yang menagih pencerahan berhubung kos sara hidup, integriti pentadbiran, tadbir urus ekonomi dan kesejahteraan sosial akhirnya ditinggalkan tanpa jawapan sebenar.
Masalah ini bukan kecil. Demokrasi hanya menjadi hidup apabila wujud keseimbangan kuasa, ketelusan maklumat dan keberanian menjawab persoalan rakyat. Apabila komponen-komponen teras ini rosak, demokrasi tidak lagi berfungsi sebagai mekanisme mengembalikan kuasa kepada rakyat; sebaliknya ia berubah menjadi alat iaitu alat untuk mengabsahkan kuasa mereka yang berada di puncak, meskipun amanah rakyat dikhianati.
Malaysia tidak boleh terus membiarkan demokrasi dipinjamkan kepada mereka yang memperalatkannya. Keadilan politik dan integriti institusi adalah hak rakyat, bukan ihsan pemerintah.
Kita harus kembali kepada asas yang jelas, Parlimen ialah medan amanah untuk menjalankan tanggungjawab dan menjadi contoh tertinggi kebebasan bersuara.
Speaker pula wajib berdiri sebagai penjaga keadilan Dewan, bukan menurut telunjuk sesiapa; manakala kerajaan hanyalah pemegang mandat yang perlu dipertanggungjawabkan, bukan pengatur taktik untuk mengekalkan kuasa.
Masa depan negara bergantung pada keberanian rakyat memilih kepimpinan yang sanggup memulihkan roh demokrasi ke tempat asalnya dan kembalikan memartabatkan suara rakyat, menjunjung maruah institusi negara dan menolak segala bentuk penindasan yang berselindung di sebalik kekuatan majoriti.
Hanya dengan itu, martabat negara dan masa depan generasi akan datang dapat dipertahankan dengan penuh integriti dan keadilan.
IQMAN IBERAHIM – HARAKAHDAILY 8/12/2025











