MCA lebih bimbang kerjasama Umno-DAP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan kenyataan MCA yang sedia keluar Barisan Nasional (BN) sekiranya Umno bekerjasama dengan DAP sebagai perkembangan baharu dalam politik negara.

- Advertisement -

“Ini perkara baharu bagi kita, kita baru dengar kenyataan MCA hari ini walaupun mereka sudah lama berjinak-jinak dengan kita dan selalu berjumpa dengan kita.

“Bagi saya, mana-mana parti yang berhasrat menyertai mana-mana gabungan tidak sepatutnya mengenakan apa-apa syarat, tapi mungkin MCA ada justifikasi mereka, kita kena dengar dahulu kenapa mereka kata masih tidak setuju dengan PAS.

“Sedangkan masa kita kerajaan Perikatan Nasional dulu, menteri PAS ada dalam kerajaan, pegawai-pegawai kita semua ada, maknanya mereka boleh nampak bahawa saya melihat tidak ada masalah,” katanya.

Beliau menegaskan PAS sentiasa terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi keutamaan Melayu Bumiputera dipertahankan serta pihak bukan Melayu yang tidak ekstrem turut diterima.

“Kenyataan MCA itu lebih kepada sifat takut mereka terhadap reaksi ahli sendiri, saya pun tak boleh sahkan musim-musim sekarang ini adakah itu benar-benar kenyataan mereka ataupun kenyataan yang dipolitikkan.

“Kita perlu jumpa dengan mereka dulu, saya bersedia, kita bersedia jumpa, di Parlimen pun kami selalu berjumpa, bukan kali pertama,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin mengesahkan MIC telah menghantar surat rasmi kepada PN untuk kembali menyertai gabungan itu.

“MIC telah menghantar permohonan untuk dimasukkan semula, mereka guna perkataan readmission kerana MIC adalah salah satu pengasas PN ketika proses pendaftaran bersama PAS dan BERSATU.

“Surat itu dihantar lebih sebulan, Tan Sri Muhyiddin pun ada sebut, cuma kita belum putuskan dalam mesyuarat,” katanya lagi.

Mengulas kedudukan kehadiran Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, beliau menjelaskan faktor kesihatan dan urusan kepimpinan menyebabkan beberapa pemimpin PAS mencatat kehadiran rendah.

“Presiden sekarang dalam MC (cuti sakit) dua bulan, baru buat pembedahan mata, banyak urusan parti dalam dan luar negara dan kebanyakannya beliau tidak sihat,” katanya.

Menjawab secara berseloroh mengenai dirinya yang disenaraikan antara kehadiran terbaik, beliau agak terkejut.

“Saya pun terkejut baca, dia kata saya ‘perform’ bagus, saya pastikan orang lain hadir, takkan saya pula tak hadir,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/12/2025

- Advertisement -