Keharmonian budaya asas perpaduan rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penyatuan budaya pelbagai kaum yang diamalkan sejak turun-temurun menjadi antara asas keharmonian masyarakat majmuk di Kelantan.

Hilmi Abdullah berkata, amalan kaum Cina mengacau bubur asyura di hadapan tokong mereka sudah berlaku sejak dahulu dan menjadi simbol kebersamaan masyarakat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri itu berkata, datuk nenek kaum tersebut telah melakukannya sejak lama walaupun bubur asyura merupakan makanan tradisi umat Islam.

“Di Kuala Krai pula, ramai kaum Cina dari luar negeri yang menjadi taukeh kilang kayu mengakui selesa tinggal di Kelantan. Tiada rekod pertumpahan darah dalam sejarah negeri ini. Kuala Krai juga tersenarai sebagai daerah paling bahagia di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Tahunan Jalinan Budaya dan Pertandingan Masakan Tradisional Kelantan 2025 di Dewan Perniagaan Cina, di sini malam kelmarin.

Tahun lalu, program sama diadakan di Gerbang Cheng Ho sebagai kesinambungan usaha meraikan perpaduan dan kebersamaan rakyat.

Hilmi turut menyaran supaya konsep pertandingan pada edisi akan datang diperluaskan dengan pendekatan silang budaya.

“Tahun depan, penganjur boleh buat agar peserta Melayu memasak makanan kaum Cina, India atau Siam, manakala kaum lain turut menyediakan masakan dari budaya berbeza,” ujarnya.

Program tersebut turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori.

Srikandi Puspanita MPKB-BRI muncul johan kategori Melayu, Persatuan Guolin Qigong mengungguli kategori Cina dan Kumpulan KB Jothi menjuarai kategori India, manakala Khrua Siam menguasai kategori Siam.

Setiap johan menerima wang tunai RM400, sekampit beras Nagasari dan sekampit beras basmathi tajaan Beras Era.

Sementara itu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Kelantan kerana komited memelihara keharmonian masyarakat majmuk yang telah wujud sejak ratusan tahun di negeri ini.

Menurutnya, sejarah menunjukkan Kelantan telah menerima kedatangan masyarakat luar seawal tahun 1500 Masihi di mana tokoh pelayaran dari pelbagai bangsa sudah berinteraksi dengan Kelantan sejak lebih 600 tahun lalu.

“Masyarakat India, Siam, Sikh dan Cina turut menetap sebagai rakyat Kelantan dan hidup harmoni sebagai komuniti setempat, dan kerajaan negeri sentiasa menyantuni serta memelihara mereka,” katanya.

Takiyuddin turut merakamkan penghargaan kepada MPKB-BRI serta semua agensi kerajaan yang bekerjasama menjayakan program kebudayaan sehingga memberi kesan positif kepada perpaduan rakyat.

“Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat adalah asas kepada keamanan serta kestabilan yang kita nikmati bersama di Kelantan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/12/2025

- Advertisement -