Terengganu lanjut tempoh remedi kepada FELDA, FGV

Dato’ Nara Setia Zulkifli Ali
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju melanjutkan tempoh remedi dalam notis yang dikeluarkan kepada FELDA Global Ventures Holdings (FGV) bagi menyelesaikan isu tuntutan tanah milik kerajaan yang dimajukan sebagai ladang komersial, sehingga 7 Januari 2026.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia Zulkifli Ali berkata, keputusan ini dibuat selaras dengan kemajuan positif dalam siri rundingan bersama pengurusan tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), yang bertujuan mencari penyelesaian muktamad secara bersama.

- Advertisement -

“Merujuk kepada isu tuntutan Kerajaan Negeri Terengganu terhadap tanah milik kerajaan yang dimajukan sebagai ladang komersial oleh FELDA dan FGV, sukacita dimaklumkan bahawa selepas penyampaian notis bagi kesalahan di bawah Seksyen 425 KTN dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri Terengganu telah meneruskan beberapa siri rundingan bersama Pengurusan Tertinggi FELDA bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit.

“Melihat kepada perkembangan positif dari hasil rundingan tersebut, kerajaan negeri meyakini bahawa siri rundingan seterusnya akan diteruskan sehingga berjaya mencapai persetujuan yang dapat dimuktamadkan antara kerajaan negeri dan FELDA.

“Selaras dengan kemajuan rundingan ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh remedi di dalam notis yang telah dikeluarkan bagi tempoh satu bulan berakhir pada 7 Januari 2026 dan tidak meneruskan dengan notis yang telah dikeluarkan kepada kesemua Lembaga Pengarah FGV,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh remedi tersebut, FGV dibenarkan meneruskan operasi semua ladang mereka di Terengganu, manakala notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negeri (KTN) akan ditarik balik.

“Dalam tempoh remedi ini, perbincangan ke arah memuktamadkan terma dan syarat perjanjian akan diadakan dan kerajaan negeri juga telah mempertimbangkan untuk bersetuju memberi kelonggaran kepada FGV bagi meneruskan operasi semua ladang mereka di Terengganu berkuat kuasa serta merta.

“Notis yang telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah seksyen 425 KTN akan ditarik balik sebaik sahaja satu perjanjian muktamad berjaya ditandatangani antara kerajaan negeri dan FELDA.

“Semoga persetujuan penyelesaian ini akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/2025

- Advertisement -