Selangor rizab besar tetapi kebajikan, infra rakyat terabai

- Advertisement -

KUALA SELANGOR: PAS Selangor menyifatkan Belanjawan Selangor 2026 yang berjumlah RM3.23 bilion, walaupun disifatkan sebagai terbesar dalam sejarah negeri, masih gagal menterjemahkan pembelaan sebenar kepada rakyat yang kini terhimpit dengan kos sara hidup.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, kerajaan negeri memiliki rizab berbilion ringgit, namun persoalan utama yang timbul adalah sejauh mana rizab tersebut dimanfaatkan agar pulangannya dapat dirasai secara terus oleh rakyat.

- Advertisement -

​”Kita ada bajet yang besar, paling besar tahun ini (RM3.23 bilion). Tetapi pembahagian untuk kebajikan rakyat itu pada pandangan kami masih kurang.

​”Kita ada rizab, saya tidak kata kena habiskan, tetapi bagaimana memanfaatkan rizab itu kepada rakyat yang sepatutnya mendapat bantuan adalah keutamaan,” katanya dalam sidang media selepas Munaqashah Ucapan Dasar Presiden PAS ke-71, di sini semalam.

​Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu lagi, kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu infrastruktur asas turut menjadi pertikaian utama.

​Jelasnya, isu jalan raya rosak, masalah sampah, sistem perparitan dan banjir masih belum diselesaikan dengan tuntas walaupun negeri Selangor dianggap negeri maju.

​Beliau memberikan contoh kerosakan jalan di sekitar Tanjung Karang ke Kuala Selangor serta Laluan Persekutuan (FT24) yang memerlukan komitmen serius pihak berwajib demi keselamatan pengguna.

​”Isu sampah masih lagi timbul masalah, ini perkara-perkara asas yang rakyat tidak puas hati. Belum masuk lagi isu banjir yang masih berlaku dalam minggu ini.

​”Walaupun ada usaha dilakukan, tetapi pada pandangan kami perkara ini perlu ditingkatkan lagi bagi memastikan rakyat di negeri ini mendapat manfaat setimpal daripada bajet yang dibentangkan,” tegasnya.

​Mengulas lanjut, Dr Halim turut menyentuh mengenai ketidakseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar serta kebergantungan tinggi hasil negeri kepada cukai tanah.

​Beliau melahirkan kebimbangan terhadap kebergantungan hasil tanah yang mencecah 61 peratus dan menggesa kerajaan negeri mencari sumber hasil baharu bagi mengurangkan risiko penyusutan sumber tanah pada masa hadapan.

​Terdahulu, Kerajaan Negeri membentangkan Belanjawan Selangor 2026 bertema ‘Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’ dengan peruntukan RM3.23 bilion, meningkat RM230 juta berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, RM1.86 bilion (57.6 peratus) diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.37 bilion (42.4 peratus) untuk pembangunan. – HARAKAHDAILY 8/12/2025

- Advertisement -