Projek jalan masih terputus jejas keselamatan penduduk

Dato’ Mohd Sofian Abdul Jalil
- Advertisement -

KUANTAN: Penduduk di Kampung Bak‑Bak, Kampung Merbau dan Kampung Serengkam mengadu projek menaik taraf jalan yang bernilai lebih RM30 juta masih menimbulkan risiko keselamatan kerana beberapa bahagian jalan belum disiapkan sepenuhnya.

- Advertisement -

Dato’ Mohd Sofian Abdul Jalil (PN-Luit) memaklumkan, projek menaik taraf dan meninggikan aras jalan dari Kampung Bak‑Bak ke Serengkam dijangka siap pada 21 Mac 2025 itu masih terdapat kawasan yang terputus akibat banjir dan hujan lebat.

“Malah terdapat bahagian jalan yang telah ditinggikan dan diturap masih ada ditenggelami air dan menyebabkan perhubungan diantara Kampung Bak‑Bak, Kampung Merbau, Kampung Serengkam telah putus tak dapat menggunakan jalan yang telah dinaiktaraf tu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Mesyuarat Ke-3, Persidangan Penggal Ke-4, Dewan Negeri Pahang Yang Ke-15 di Dewan Sri Pahang, semalam.

Selain itu, beliau berkata, projek membina jalan baharu dari Lubuk Paku ke Mentenang dan Pejing yang menelan belanja lebih RM70 juta dijadualkan siap pada 6 Oktober 2025, juga dikatakan terhenti.

“Kami dapatkan projek ini seperti terhenti kerana banyak kesan-kesan kerja menjadi tempat tinggalan. Rumput-rumput sudah tinggi dan sebagainya.

“Jadi saya ingin bertanya sama ada kedua-dua projek ni projek yang mengikut jadual ataupun projek sakit. Jadi kita mohon penjelasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -