Berhijab: AirAsia hormati hak muslimah

Norsah Bongsu
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah menyambut baik pengumuman AirAsia yang membenarkan kru kabin wanita Muslim untuk mengenakan hijab ketika bertugas, selaras dengan pelaksanaan polisi seragam baharu syarikat penerbangan itu mulai Ramadan 2026.

- Advertisement -

Ketuanya, Norsah Bongsu menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu langkah maju dan matang yang menghormati hak kebebasan beragama serta keperluan muslimah untuk menjaga aurat mengikut tuntutan syarak.

Menurutnya, polisi ini membuktikan bahawa profesionalisme dalam industri penerbangan tidak bertentangan dengan pemeliharaan syariat, bahkan mampu bergerak seiring dengan nilai keagamaan dan keterbukaan budaya.

Katanya, dengan membuka ruang pilihan berhijab kepada kru wanita Islam, AirAsia dilihat menunjukkan sensitiviti terhadap kepelbagaian masyarakat, sekali gus memberi peluang kerjaya yang lebih inklusif tanpa sebarang halangan berkaitan seragam.

“Langkah ini dianggap sebagai pengiktirafan terhadap aspirasi wanita Muslim yang ingin mengekalkan identiti dan maruah diri dalam kerjaya,” katanya ketika dihubungi media, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru majikan di seluruh negara, khususnya di Sabah, agar mencontohi dasar inklusif tersebut dengan menghormati hak pekerja muslimah untuk menutup aurat tanpa diskriminasi.

“Kita sebagai wanita Muslim sangat digalakkan menceburi pelbagai sektor kerjaya termasuk penerbangan, perhotelan, perkhidmatan dan profesional dengan mengekalkan integriti sebagai muslimah,” ujarnya.

Pada masa sama, ujarnya masyarakat umum disaran melihat perkembangan itu sebagai normalisasi positif bahawa syariat Islam bukan penghalang kepada kemajuan, malah menjadi sumber kekuatan dan keyakinan dalam kerjaya.

Norsah percaya langkah AirAsia itu akan membuka lebih banyak ruang kepada perjalanan dasar pekerjaan yang lebih adil kepada wanita Muslim di Malaysia serta mendorong suasana kerja yang harmoni, beretika dan menghormati kepelbagaian.

“Islam memuliakan wanita, dan apabila syariat dihormati, maka keharmonian masyarakat akan lebih terserlah,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -