Dasar pemakaian baharu AirAsia bukti profesionalisme 

Wan Hasrina Wan Hassan
- Advertisement -


 SHAH ALAM: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada AirAsia susulan pengumuman dasar pemakaian baharu yang membenarkan kru kabin wanita berhijab ketika bertugas.

Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, langkah itu menunjukkan komitmen syarikat penerbangan tersebut dalam menghormati hak beragama dan meraikan kepelbagaian budaya bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
 
“Langkah progresif ini merupakan satu perkembangan positif dalam usaha menghormati hak beragama serta meraikan kepelbagaian budaya di Malaysia dan seluruh dunia,” ujarnya dalam kenyataan.
 
Menurut beliau, keputusan AirAsia itu turut mencerminkan keterbukaan pengurusan syarikat dalam mendengar pandangan kakitangan serta mengangkat nilai hormat-menghormati terhadap kepercayaan dan identiti setiap individu.
 
“Kami percaya bahawa polisi ini bukan sahaja memberikan keselesaan dan keyakinan kepada kru kabin wanita Muslim untuk menjalankan tugas dengan penuh profesionalisme.
 
“(Ia) malah memperkukuh imej AirAsia sebagai syarikat penerbangan yang inklusif dan bertanggungjawab terhadap sensitiviti agama serta budaya,” terangnya.
 
Jelas beliau, perubahan polisi tersebut juga diharap menjadi contoh kepada lebih banyak institusi dan syarikat lain agar menambah baik dasar pemakaian yang memberi ruang kepada pekerja Muslimah mematuhi tuntutan agama tanpa halangan.
 
“Semoga AirAsia terus maju sebagai peneraju industri penerbangan yang berwibawa, progresif dan menghargai kepelbagaian dalam kalangan tenaga kerjanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -
- Advertisement -