
SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menjunjung setinggi-tinggi kasih titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang menzahirkan kebimbangan baginda berhubung cadangan pelantikan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, titah baginda jelas memperlihatkan keprihatinan yang mendalam terhadap usaha memastikan badan kehakiman negara kekal bebas, berkecuali dan diyakini rakyat.
Menurutnya, pendirian tegas baginda itu selaras dengan prinsip utama dalam sistem demokrasi berperlembagaan Malaysia, di mana Raja-Raja Melayu memegang peranan penting sebagai penjaga keluhuran Perlembagaan dan pemelihara institusi utama negara.
”Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar merupakan peringatan penting supaya proses pelantikan hakim melalui JAC sentiasa mengutamakan integriti, kebebasan dan profesionalisme tanpa sebarang pengaruh politik.
”Badan kehakiman adalah tiang seri negara. Sebarang keputusan melibatkan JAC mestilah dilakukan secara telus, bebas dan menghormati semangat Perlembagaan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Fairuz menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan wajar mengambil maklum dan memberi penjelasan terbuka berhubung titah tersebut bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman.
Ujarnya lagi, PAS komited untuk terus mempertahankan kedaulatan undang-undang (rule of law) serta memastikan tiada sebarang usaha yang boleh mencemar integriti proses pelantikan hakim di Malaysia.
”PAS Negeri Sembilan menzahirkan penghargaan atas ketegasan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam memelihara kewibawaan institusi kehakiman. Semoga pentadbiran negara terus berada di atas landasan keluhuran undang-undang dan keadilan yang sebenar,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Dato’ Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik menganggotai JAC selama dua tahun berkuat kuasa 15 November lalu.
Pelantikan tersebut turut mendapat kritikan daripada Majlis Peguam yang mengingatkan bahawa walaupun kuasa pelantikan berada di bawah Perdana Menteri.
Jawatan tersebut lazimnya diisi oleh hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan demi memelihara kekananan dan hierarki kehakiman. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











