
IPOH: PAS menegaskan bahawa agenda perpaduan kaum bukan sekadar satu pilihan sampingan, sebaliknya ia merupakan satu tuntutan besar dalam Islam yang perlu dilaksanakan menerusi pendekatan kasih sayang dan kemanusiaan.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, kepelbagaian bangsa dan budaya adalah sunnatullah di mana Islam hadir bukan untuk satu kaum sahaja, tetapi sebagai rahmat kepada seluruh alam.
Sehubungan itu, beliau menyeru LPN Negeri Perak agar menghayati dan menjadikan dua firman Allah SWT iaitu Surah al-Hujurat ayat 13 dan Surah al-Mumtahanah ayat 8 sebagai falsafah serta rujukan utama dalam menggerakkan agenda perpaduan.
”Allah SWT menciptakan manusia berbangsa-bangsa untuk saling mengenali, bukan bermusuhan. Asas hubungan kita adalah kebaikan dan keadilan selagi mana mereka tidak memerangi agama.
”Masyarakat bukan Melayu hari ini bukan menolak Islam atau PAS, tetapi mereka masih dibayangi persepsi silam dan belum benar-benar mengenali wajah Islam yang sebenar.
”Maka tugas kita bukan untuk memaksa atau menghakimi, tetapi menyantuni dan menenangkan. Pendekatan mesti berubah daripada politik semata-mata kepada pendekatan kemanusiaan atau dakwah bil hal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Program Tee Up untuk Pilihan Raya Umum ke-16 anjuran LPN PAS Negeri Perak, di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, Dr Najihatussalehah menggariskan empat harapan utama kepada LPN Perak untuk dilaksanakan bagi merapatkan jurang komunikasi antara kaum di negeri itu.
Pertama, katanya, lajnah tersebut perlu menjadi pusat latihan kefahaman silang budaya agar ahli memahami sensitiviti dan adat resam masyarakat lain.
”Kedua, perbanyakkan program muhibbah dan kebajikan tanpa sempadan bangsa. Kita mahu dikenali bukan kerana bendera atau slogan semata-mata, tetapi kerana keikhlasan membantu rakyat yang susah tanpa mengira latar belakang.
”Ketiga, lahirkan ‘Duta Perpaduan’ dalam kalangan anak muda yang mampu menyampaikan mesej Islam melalui akhlak mulia.
”Keempat, kita mesti berani keluar daripada zon selesa dengan membuka pintu persahabatan baharu bersama tokoh masyarakat bukan Melayu, NGO dan aktivis sosial,” ujarnya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa Perak sebagai sebuah negeri majmuk yang didiami masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli serta etnik Sabah dan Sarawak adalah cerminan realiti Malaysia yang memerlukan jambatan perpaduan yang kukuh.
”Binalah negeri ini dengan kasih sayang. Suburkan keharmonian dengan keikhlasan dan sebarkan Islam dengan akhlak terbaik,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











