Setahun pembebasan Syria yang berkubang darah

- Advertisement -

HAMPIR 13 tahun tanah Syria dibadai derita dan kejerihan, tepatnya tempoh 12 tahun 10 bulan adalah fasa kehidupan yang sangat memeritkan. Ratusan ribu mati menggeletak dengan anggaran kasar setengah juta jiwa melayang, jutaan rakyat Syria menjadi pengungsi di pelbagai buah negara termasuk di Eropah.

Syria adalah sebahagian daripada tanah Syam, buminya pernah dipijak oleh ar-Rasul SAW yang mulia bahkan didoakan oleh ar-Rasul SAW. Lahan Syria menjadi tanah kuburan kepada ratusan para sahabat Nabi SAW. Negara ini dalam rakaman sejarahnya telah melahirkan ribuan para ulama serta pemikir ummah, namun pasca ‘Arab Spring’, ia telah berantakan akibat peperangan, bahkan ditindan lagi kedukaan dengan wabak COVID-19 pada tahun 2020 yang menaufan dunia.

Negara ini pernah dijajahi oleh Perancis, malah berdepan dengan kebangkitan para alim ulama untuk perjuangan kemerdekaan. Syria juga melahirkan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin yang hebat seperti Sheikh Dr Mustapha as-Sibaie, Sheikh Said Hawwa dan lain-lain.

- Advertisement -

Negara ini juga menyaksikan bersemaraknya fahaman Baath (sosialis Arabisme) sehingga parti Baath pernah memerintah negara serta melahirkan sosok penindas rakyat dan pembantaian gerakan Islam. Antara mercu tanda pembantaian gerakan Islam ialah peristiwa ‘Hammah carpet bombing’ pada tahun 1982. Puluhan ribu anggota Ikhwanul Muslimin telah dibunuh serta ribuan tercedera. Ulama diserkap serta mendekam dalam penjara pengap, malah ada yang menyelamatkan diri ke luar negara seperti Sheikh Dr Ali Shoubuni, Sheikh Said Hawwa, Sheikh Dr Mustapha Bugha dan lain-lain sosok ilmuan Islam serta ulama pejuang.

Pasca Arab Spring yang bermula di Tunisia pada 2010 telah mengubah landskap politik Timur Tengah – runtuhnya hegemoni politik rejim termasuk di Mesir, Tunisia, Libya serta kekacauan politik di Syria. Rejim Baath Syria mempertahankan kekuasaannya dengan kekerasan maka perang saudara yang panjang telah melingkari negara yang cantik ini.

Penulis pernah terlibat dengan banyak misi musim sejuk Syria. Kemuncak musim sejuk dengan suhu di bawah paras minus sangat mendera para pengungsi. Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah berada di Kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian sehingga mengorbankan nyawa.

Dalam tempoh luka ini, pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan yang menyediakan kemudahan yang lebih kondusif untuk pelarian. NGO antarabangsa seperti IHH juga menfokuskan dengan baik untuk bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian.

Rejim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakya, Turki kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah-olah campur tangan dalam soal pengungsi dari Syria.

Kerajaan Turki telah membuka banyak peluang kehidupan kepada pelarian Syria sama ada pekerjaan atau pendidikan. Penulis juga menjadi saksi mata dalam tempoh 13 tahun sebelum 8 Disember 2024, bagaimana bangunan-bangunan kediaman baru muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan di sekitar sempadan Turki dan Syria.

Krisis kemanusiaan sepanjang perang saudara sangat memburuk di khemah-khemah pelarian Syria di sempadan Lubnan, juga sebelah Jordan terutama dengan kedatangan musim sejuk yang menggigit tulang temulang. Jutaan pengungsi warga Syria yang lari daripada konflik berdarah Syria semenjak 13 tahun lalu berhadapan dengan situasi yang paling getir apabila musim sejuk menyerkap mereka dengan kekurangan makanan, pakaian, selimut, alat pemanas dan ubat-ubatan.

Penulis berpeluang lebih sembilan kali mengikuti misi bantuan bersama NGO Muslim Care Malaysia ke sempadan Turki dan juga Jordan yang merupakan jiran Syria. Ini termasuklah juga misi membantu pelarian Syria di benua Eropah seperti di Austria, Republik Chech dan Jerman.  Rombongan Muslim Care membawa bantuan musim sejuk seperti selimut tebal, pakaian sejuk, makan kering dan lain-lain.

Fajar mulai menyingsing apabila peristiwa yang dinamakan sebagai ‘Fathul Syam’, kejatuhan Bashar Assad dengan legasi rejim Baath selama lima dekad berkuasa telah berakhir. Bashar yang zalim telah melarikan diri ke Rusia serta mendapat suaka politik. Sehubungan dengan itu, Ahmed Al-Sharaa telah dilantik sebagai Presiden peralihan pada bulan Januari 2025.

Dalam tempoh setahun Syria merdeka daripada rejim Baath ini, bukan mudah bagi kerajaan baru untuk menstabilkan politik negara serta membina kembali negara yang telah hancur. Kota-kota besar negara itu seperti padang jarak padang tekukur, seperti di Ghutoh, Hammah dan Aleppo.

Penulis pernah menjadi saksi melihat puin-puin bangunan berserakan di Idlib dan Ariha. Peperangan menatijahkan kesengsaraan yang panjang termasuk kemiskinan ekstrem, keciciran pendidikan, kemunculan ekstremisme serta radikalisme pemikiran.

Moga Allah merahmati tanah Syria serta kembali ia menjadi pusat pengajian Islam tersohor di rantau Asia Barat. Juga terselamat daripada jebakan Zionis yang sentiasa mengintai lahan Syria untuk perluasan kuasa mereka.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -