​‘Bukan tolak PAS, tapi orang Cina belum terima maklumat adil’

Dr Balachandran Gopal Krishnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tanggapan bahawa masyarakat Cina sukar menerima PAS sebenarnya berpunca daripada mereka itu tidak mendapat akses kepada maklumat yang adil dan benar mengenai dasar sebenar parti.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, cabaran sebenar hari ini bukanlah penolakan masyarakat Cina, sebaliknya mereka masih terperangkap dengan naratif lama yang tidak tepat.

- Advertisement -

​Menurutnya, persepsi negatif itu dibentuk oleh dakyah DAP sekian lama yang melabel PAS sebagai ekstrem, manakala MCA pula dilihat tidak memainkan peranan untuk menangkis atau membetulkan persepsi tersebut.

​“Akibatnya, ramai yang terperangkap dalam propaganda tersebut, lalu gagal melihat dan merasai sendiri suasana harmoni pentadbiran PAS di negeri-negeri yang diterajui parti ini.

​“Ini menunjukkan bahawa cabaran sebenar bukan masyarakat Cina menolak PAS, tetapi mereka belum diberikan maklumat yang adil dan benar,” katanya.

​Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mendakwa masyarakat Cina sukar menerima PAS.

​Mengulas lanjut, Balachandran berkata realiti sebenar pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis membuktikan sebaliknya apabila hak bukan Islam sentiasa terpelihara.

​Jelasnya, di negeri-negeri tersebut rumah ibadat bukan Islam tidak pernah ditutup, malah sekolah vernakular serta komuniti minoriti sentiasa mendapat sokongan dan bantuan kerajaan negeri.

​“Pengundi Cina yang tinggal di negeri-negeri ini mengetahui realiti sebenar, dan semakin ramai tampil menyatakan pengalaman positif mereka berbanding mereka yang hanya mendengar dari jauh,” ujarnya.

​Tambah beliau, kewujudan DHPP sendiri yang membariskan kepimpinan pelbagai kaum termasuk Cina, India, Siam dan Sikh adalah bukti komitmen PAS terhadap inklusiviti yang sering disembunyikan daripada pengetahuan umum.

​Justeru, beliau menegaskan bahawa naratif ‘sukar terima PAS’ adalah hujah yang tidak lagi relevan jika masyarakat Cina diberi pendedahan telus mengenai rekod bersih dan integriti PAS. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -