‘Kami telah jalan tanggungjawab dengan sebaiknya’

Belanjawan Pahang 2026

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUANTAN: “Kami telah menjalankan tanggungjawab kami sebagai ADN (Ahli Dewan Negeri) dengan sebaiknya,” tegas Ketua Pembangkang DUN Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Justeru, katanya kini terpulang kepada pihak kerajaan untuk meneliti dan jujur tentang kedudukan fiskal negeri, bukan sekadar angka anggun dalam pembentangan belanjawan.

Menurutnya, pada tahun ini, kerajaan negeri Pahang mengunjurkan bajet lebihan (surplus) sebanyak RM5 juta.

“Angka ini kelihatan cantik, namun belum tentu dapat dicapai sekiranya kita melihat rekod yang berlaku,” ujarnya.
dalam kenyataan, hari ini.

Beliau melahirkan kebimbangan itu berasaskan Laporan Ketua Audit Negara 03/2025 bagi Negeri Pahang yang menjelaskan bahawa walaupun kerajaan negeri mengunjurkan lebihan RM12 juta bagi tahun 2024, namun hakikatnya tahun tersebut ia berakhir dengan defisit RM128.17 juta.

Sehubungan itu, katanya, beliau dan rakan-rakan ADN Perikatan Nasional Pahang bertanggungjawab untuk menyemak, menegur dan mencadangkan langkah penambahbaikan agar Pahang mampu menggerakkan sumber baharu yang berdaya maju bagi memperkukuh pendapatan negeri.

Menurutnya lagi, kebimbangan itu mula meresahkan apabila hutang awam negeri Pahang sudah meningkat semula kepada RM1 bilion.

“Saya menghormati hak YAB Menteri Besar untuk menuntut penjelasan. Namun kita perlu menerima hakikat dengan angka yang dibentangkan dalam Laporan Audit Negara,” ujarnya yang juga ADN Cheka.

Dalam masa yang sama, Tuan Ibrahim turut menyuarakan kerisauan terhadap hasil negeri kini sudah hampir mendatar dan terlalu tertumpu pada sumber yang sama setiap tahun.

Beliau menambah, apabila sumber pendapatan tidak berkembang, risiko defisit akan terus berulang.

Justeru, ujarnya kerajaan negeri perlu memperkukuh strategi pendapatan baharu agar keadaan fiskal tidak terus bergantung kepada sumber yang semakin tepu.

Tegasnya lagi, beliau bersama rakan-rakan ADN pembangkang tidak pernah menolak usaha kerajaan untuk membangunkan negeri.

“Semua daripada kita mahukan negeri ini berada pada trajektori kewangan yang sihat, stabil dan mampan. Hasrat ini jugalah dikongsi oleh seluruh rakyat Pahang.

“Justeru, segala teguran yang kami lontarkan bertujuan memastikan kepentingan dan masa depan negeri Pahang terus terpelihara,” ujarnya.

Persidangan DUN yang sedang berlangsung hingga 12 Disember ini turut membahaskan Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada 5 Disember lalu. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -