Tandatangan ADUN pembangkang dibuat jadi ‘tak laku’

Mohamad Hanifah Abu Baker
- Advertisement -

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan masih mengamalkan politik diskriminasi apabila tandatangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok pembangkang tidak boleh digunakan bagi urusan rasmi kerajaan termasuk permohonan bantuan kebajikan.

​Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-Labu) berkata, tindakan tersebut menyusahkan rakyat, khususnya golongan B40 yang terpaksa berulang-alik semata-mata kerana tandatangan wakil rakyat pilihan mereka ditolak oleh agensi kerajaan.

- Advertisement -

​Beliau mendedahkan insiden terbaru melibatkan seorang penduduk kawasannya yang memohon pengesahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ditolak selepas mendapat tandatangannya.

​”Rakyat datang jumpa saya, minta tandatangan borang pengesahan JKM. Selepas itu beliau datang kembali mengadu tandatangan saya tidak diterima dan pegawai meminta tandatangan Penyelaras DUN. Saya terus ke pejabat JKM Seremban 2 untuk mendapatkan kepastian.

“Pegawai terbabit memohon maaf dan memaklumkan beliau hanya menjalankan arahan daripada Exco Kerajaan Negeri,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

​Hanifah meluahkan rasa kesal dengan sikap Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang dahulunya lantang melaungkan reformasi, namun kini mengulangi tindakan menekan pembangkang sebagaimana pentadbiran terdahulu.

​Tegasnya, tindakan mewajibkan pengesahan Penyelaras DUN yang merupakan lantikan politik dan bukan pilihan rakyat adalah satu bentuk penganiayaan kepada penduduk yang mungkin tinggal jauh dari pejabat penyelaras.

​”Yang datang ini orang susah, B40. Datang jauh dekat 20 kilometer minta tandatangan, bila pergi hantar (borang) cakap tak boleh.

​”Kalau benar kerajaan negeri amalkan dasar ini, saya cabar kerajaan padamkan ruangan ‘ADUN’ dalam borang rasmi di kawasan pembangkang. Jangan letak lagi jika tandatangan kami tidak laku, biar rakyat tahu,” tegasnya.

​Isu tersebut menjadi hangat apabila Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir (PH-Jeram Padang) mencelah dan mempertahankan tindakan tersebut sebagai ‘peraturan’ dan amalan biasa kerajaan negeri, malah meminta pembangkang ‘terima kenyataan’.

​Hanifah bagaimanapun membidas kenyataan wakil kerajaan itu dengan mengingatkan janji-janji PH sebelum ini yang kononnya tidak mahu mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.

​”Inilah janji pilihan raya dulu, kalau menang tak akan ulang apa kerajaan terdahulu buat. Tapi sekarang ulang benda sama. Kami (pembangkang) baru berapa lama, rakyat jadi mangsa,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -