Perkemas organisasi muslimat menuju PRU16

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

KUANTAN: Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) Pahang, Salamiah Mohd Nor berkata, pemerkasaan organisasi muslimat mesti diperkemaskan segera bagi memastikan gerak kerja menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dapat disusun dengan lebih tersusun dan berstrategi.

- Advertisement -

Katanya, penyelarasan struktur organisasi mengikut Perlembagaan PAS serta keputusan tertinggi parti adalah asas penting bagi memastikan setiap peringkat muslimat bergerak dalam satu saf yang teratur.

Menurutnya, keberkesanan gerakan muslimat bergantung kepada kekemasan struktur, kejelasan portfolio dan disiplin kerja berpasukan yang mantap.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata demikian ketika berucap dalam Program Pemerkasaan Organisasi DMPN yang berlangsung di PUTRA Balok di sini, kelmarin.

Program tersebut, ujarnya turut menjadi platform perbincangan yang membawa kepada penggubalan sepuluh resolusi bagi memperkukuh pentadbiran muslimat di seluruh negeri.

Katanya, sepuluh resolusi yang dipersetujui itu merupakan langkah penyelarasan penting bagi memastikan pentadbiran muslimat di setiap peringkat berada dalam kerangka kerja yang seragam dan berkesan.

Antara resolusi utama yang dipersetujui ialah memastikan semua Struktur Organisasi DMPN Pahang dan Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) dibentuk mengikut Perlembagaan PAS, selain menetapkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Harian seramai 10 orang dan AJK biasa minimum 12 orang.

Resolusi turut menggariskan penyelarasan portfolio DMPK agar selaras dengan peringkat negeri dan pusat, serta kewajipan menyediakan Pelan Tindakan Strategik (PTS) sebelum 1 Februari 2026.

Pembinaan PTS itu digariskan supaya dilaksanakan secara inklusif dan eksklusif dengan melibatkan pandangan ahli serta masyarakat luar, selaras dengan slogan ‘PAS Teraju Pahang’.

Turut dipersetujui ialah keutamaan program peringkat negeri dan pusat sekiranya berlaku pertindihan tarikh program DMPK.

Resolusi lain menegaskan bahawa Ketua Muslimat di semua peringkat tidak mempunyai autoriti membuat keputusan berkaitan organisasi atau kewangan tanpa kelulusan Mesyuarat Penuh AJK, bagi memastikan tatakelola yang lebih teratur.

Selain itu, semua AJK DMPK disarankan memahami bidang tugas masing-masing dan melaksanakan gerak kerja mengikut PTS yang dirangka, manakala program pembangunan kepimpinan berkarisma turut ditekankan.

Setiap perkembangan PTS akan dibentangkan dalam Mesyuarat Bulanan DMPK serta Mesyuarat Agung Tahunan sebagai mekanisme pemantauan dan penilaian berterusan. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -