
PELIK juga memikirkan isu FELDA dan Kerajaan Terengganu ni. Sepatutnya Dato’ Seri (DS) Ahmad Said bangga disebut pejuang hak rakyat Terengganu.
Tetapi tidak. Beliau siap memberi amaran untuk menyaman pihak terbabit bila berita petik hansard DUN yang dia pernah marah FELDA kata teroka tanah haram tersebar.
Sedangkan jelas FELDA menduduki tanpa pematuhan sejak 40 tahun lalu dan beliau tahu hal itu. Hujah mudahnya, kalau FELDA betul, pastinya mereka boleh lawan semula arahan mahkamah untuk mereka kekal beroperasi di situ. Mahkamah jadi gelanggang, bukan media sosial.
Tetapi akhirnya FELDA yang terpaksa akur untuk keluarkan aset boleh alih mereka selepas notis remedi dikeluarkan Kerajaan Negeri sebagai pemilik sah tanah berkaitan. Bertungkus lumus para penyokong Umno cuba memesongkan cerita. Tetapi mereka lupa yang majoriti rakyat Terengganu sangat pintar menapis cerita bohong mereka.
Kisah sedih kononnya ada pekerja dihalau keluar rumah, langsung tidak berjaya menimbulkan rasa kasihan, tetapi menerima cemuhan kerana kisah menipu itu, tidak dipercayai orang. Bila minta nama, diam pula.
Kini FELDA telah sanggup datang berlutut berjumpa dengan Kerajaan Terengganu yang mana, tiada sepatahpun perkataan dari FELDA mendakwa Kerajaan Terengganu telah melakukan pencerobohan ke atas tanah mereka, kerana FELDA faham tanah itu masih di bawah kuasa negeri yang mana FELDA lah pihak yang memungkiri prosedur pendudukan.
Yang masih tidak faham, puak-puak pro-Umno. Puak-puak PH pun sudah mendiamkan diri, menunjukkan tahap kefahaman mereka lebih tinggi daripada penyokong Umno, walaupun sama-sama bangang. Ataupun upah mereka berbeza, jadi ada yang kena kerja lebih untuk menipu.
Terima kasih FELDA yang sanggup untuk berbincang secara baik bagi memastikan perjuangan Kerajaan Negeri Terengganu bagi kepentingan rakyat marhaen Terengganu yang terlibat dalam isu ini, turut disertai FELDA. Perbalahan yang panjang, pastinya merugikan FELDA, bukan Kerajaan Terengganu dan tempiasnya pastilah rakyat yang terkena.
Berbalik kepada isu penafian DS Ahmad Said dalam hal yang jelas benar mengikut perundangan mengatakan FELDA menggunakan tanah seluas 15,000 hektar yang dibincangkan ini sebagai haram dan beliau menafikannya walaupun ada dalam hansard, sungguh menimbulkan kepelikan kepada kita.
Kerana semasa Dr Sam mahu menuntut royalti dikembalikan kepada Terengganu, beliau bersetuju pula untuk menyokong bersama Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Tetapi dalam masa yang sama, Umno kuat menyalak mengatakan Terengganu tiada hak ke atas royalti kerana konon kedudukan telaga-telaga minyak itu melebihi dua batu nautika.
Mana satu yang betul dan mana satu yang Dato’ nak sokong ni?
MOHD NASIR ABDULLAH
9 Disember 2025 – HARAKAHDAILY 9/12/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.














