Kelantan mahu budaya kebersihan jadi identiti negeri

Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM12 juta bagi pelaksanaan program di bawah Kempen Kelantanku Bersih Tahun 2026 bagi memperkukuh budaya kebersihan sebagai identiti negeri.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, peruntukan tersebut penting bagi memastikan semua PBT merancang pelaksanaan yang lebih tersusun, menyeluruh dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.

- Advertisement -

“Tujuan kita bukan sekadar membelanjakan, tetapi memastikan setiap ringgit memberi manfaat yang jelas. Kita mahu melihat tambahan tong sampah, penaiktarafan kemudahan awam, pengurusan sisa pepejal lebih efisien dan kawasan rekreasi semakin ceria,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Kelantanku Bersih bukan slogan, tetapi identiti baharu negeri yang menuntut kebersihan pentadbiran, persekitaran fizikal, amalan hidup rakyat dan nilai spiritual selaras dasar “Membangun Bersama Islam”.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyokong sembilan kategori Pertandingan Kelantanku Bersih yang melibatkan pengurusan tandas, pasar, taman rekreasi, premis makanan, taman perumahan serta sekolah kerana ia menyentuh kehidupan rakyat.

“Ini bukan sekadar pertandingan, tetapi budaya yang perlu dibina dan diwariskan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jabatan kerajaan, PBT, komuniti, NGO dan sukarelawan yang bertungkus lumus sepanjang tahun menjayakan agenda kebersihan negeri.

Katanya, kerajaan komited melahirkan masyarakat yang mempunyai kesedaran kebersihan, pendidikan awal di sekolah, penguatkuasaan tegas, peluasan program Waste to Money serta kempen kreatif yang dekat dengan rakyat.

Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan terima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri atas usaha mempercepatkan pengagihan Improvement Service Fund (ISF) bernilai RM5.28 juta kepada 12 PBT bagi menaik taraf kemudahan awam dan infrastruktur.

Majlis turut meraikan pemenang sembilan kategori pertandingan, penerima Anugerah Ikon Kebersihan Komuniti serta Program Komuniti Amalan Hijau.

“Agenda Kelantanku Bersih hanya berjaya apabila rakyat memainkan peranan. Perubahan mesti bermula dari rumah – mengurus sisa dengan betul dan menyemarakkan gotong-royong,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, PBT merupakan nadi utama dalam memastikan kejayaan agenda kebersihan negeri.

Katanya, komitmen konsisten PBT telah berjaya mengubah persepsi terhadap Kelantan.

“PBT Kelantan dilihat berjaya mengubah naratif bahawa Kelantan bukan lagi negeri berimej kotor, sebaliknya negeri yang bersih, indah, ceria dan menawan.

“Pelbagai program dilaksanakan sepanjang tahun seperti Jelajah Kelantanku Bersih, Gotong-Royong Perdana, RIASAKUSA dan operasi penguatkuasaan tegas termasuk rakaman CCTV, kompaun serta tindakan saman,” katanya.

Tambahnya, RM8.51 juta telah disalurkan kepada PBT bagi kebersihan dan pengurusan sisa pepejal meliputi penswastaan sisa pepejal, pengurusan tapak pelupusan, pembelian tong sampah, kempen kebersihan dan pemerkasaan jentera.

Beliau berkata, sembilan kategori Pertandingan Kelantanku Bersih berjaya mencetus kreativiti dan penyertaan menyeluruh PBT dalam meningkatkan tahap kebersihan.

Pada majlis itu juga turut diadakan penyampaikan bantuan pembelian tong sampah bernilai RM1.57 juta, Anugerah Ikon Kebersihan Komuniti serta Anugerah Program Komuniti Amalan Hijau (PKAH). – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -