
KANGAR: Ekonomi Negeri Perlis terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang memberangsangkan apabila mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM6.5 bilion bagi tahun 2024, meningkat berbanding RM6.3 bilion pada tahun 2023 bersamaan pertumbuhan 3.3 peratus.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, Sektor Perkhidmatan kekal sebagai peneraju ekonomi negeri dengan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus.
Pertumbuhan ini menurutnya, didorong oleh beberapa subsektor utama khususnya subsektor Perkhidmatan Kerajaan, subsektor Perdagangan Borong dan Runcit, subsektor Makanan dan Minuman serta subsektor Penginapan yang terus menunjukkan peningkatan aktiviti ekonomi sepanjang tahun.
“Perkhidmatan menjadi nadi utama ekonomi Perlis dan terus menunjukkan daya tahan yang kukuh,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Belanjawan 2026 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang berlangsung di Kompleks Sri Putra, hari ini.
Sektor Pertanian pula jelasnya, menjadi penyumbang kedua terbesar ekonomi negeri dengan merekodkan pertumbuhan 2.9 peratus di mana pertumbuhan tersebut disokong kuat oleh Subsektor Perikanan yang melonjak 10.5 peratus.
Namun, beliau menjelaskan bahawa subsektor tanaman menguncup 3.1 peratus, sekali gus memperlahankan keseluruhan pertumbuhan sektor berkenaan.
Dalam masa sama, Sektor Pembinaan menunjukkan pengukuhan ketara apabila berkembang 16.9 peratus, didorong oleh peningkatan besar dalam subsektor Kejuruteraan Awam.
“Secara keseluruhannya, ekonomi Negeri Perlis menunjukkan prestasi yang positif dengan asas pertumbuhan yang kukuh. Kestabilan harga, pasaran buruh yang baik serta sumbangan tinggi sektor perkhidmatan mencerminkan ketahanan struktur ekonomi negeri,” ujar beliau.
Bagi tempoh dua tahun akan datang, Kerajaan Negeri jelasnya, akan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti sektor utama, di samping pengukuhan infrastruktur dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi
Semua usaha ini menurutnya, dirangka bagi menyokong aspirasi pembangunan mampan di bawah Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040 sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi negeri terus stabil dan berdaya tahan.
Mohd Shukri turut memaklumkan bahawa tema Belanjawan 2025 lepas ialah ‘Perlisku Bestari Berkat Lestari’ yang dibentangkan pada 10 Disember 2024 dan sebagai kesinambungannya, Kerajaan Negeri bersetuju menetapkan tema Belanjawan 2026 ini sebagai ‘Perlisku Bestari Rakyat Sejahtera’.
Tema ini katanya, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memacu pembangunan negeri secara holistik, di samping mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menerapkan nilai kebajikan dalam setiap dasar yang dilaksanakan.
Ia juga menggambarkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, seiring dengan hala tuju jangka panjang pembangunan negeri.
“Mengambil prinsip mengutamakan kesejahteraan rakyat, setiap dasar dan program dirangka dengan mengambil kira keperluan sebenar rakyat bagi memastikan kebajikan, akses adil kepada peluang ekonomi, perkhidmatan sosial dan pembangunan modal insan,” katanya.
Pendekatan ini jelas beliau, menzahirkan sebuah pentadbiran yang responsif, inklusif dan bersama rentak nadi serta suara rakyat. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











