
KUANTAN: Belanjawan Pahang 2026 disifatkan belum benar-benar mencerminkan keperluan golongan belia walaupun beberapa inisiatif berkaitan kebajikan rakyat, pendidikan dan pemerkasaan digital diumumkan kerajaan negeri.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, belia merupakan aset terpenting negeri untuk tempoh jangka panjang.
“Sebagai suara anak muda, Pemuda PAS Pahang ingin menegaskan beberapa perkara untuk dipertimbangkan bagi menjamin belia negeri Pahang dapat terus diperkasakan.
“Antaranya mempertimbangkan keperluan dasar belia yang lebih strategik. Walaupun disebut kadar pengangguran di negeri Pahang mengalami sedikit pengurangan di dalam pembentangan Belanjawan 2026.
“Golongan belia masih berdepan cabaran besar termasuk kos sara hidup yang meningkat serta kekurangan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Belanjawan ini dilihat tidak menyediakan satu pelan komprehensif bagi menangani isu struktur ekonomi belia, khususnya dalam sektor teknologi, industri hijau dan kemahiran masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi tumpuan lebih serius terhadap ekonomi anak muda kerajaan negeri perlu memperkenalkan dana ‘start-up’ belia negeri untuk merangsang belia mengisi lompang ekonomi Negeri Pahang agar ekonomi negeri boleh dipacu dengan lebih berdaya saing.
Selain itu katanya, kerajaan negeri perlu menyediakan insentif khas usahawan muda desa serta bengkel dan modul keusahawanan muda bagi memperkasakan lagi usahawan muda Pahang.
Tambahnya, adakan program latihan industri berskala besar bersama GLC dan syarikat utama di negeri ini.
“Apa yang dibentangkan masih terlalu kecil skalanya untuk memberi impak besar kepada ekosistem ekonomi belia Pahang,” katanya.
Dalam aspek pemerkasaan sahsiah dan sukan, Ahmad Azlan berkata, belanjawan kali ini kurang memberi penekanan kepada pembangunan sukan akar umbi serta pembinaan pusat aktiviti belia.
“Anak muda memerlukan ruang yang selamat, teratur dan moden untuk aktiviti sukan, kreativiti dan organisasi.
“Pemuda PAS Pahang mencadangkan diwujudkan sebuah Pusat Sukan Komuniti Bersepadu di setiap DUN sebagai satu langkah proaktif memastikan dasar sukan negeri dapat direalisasikan.
“Selain itu, program akar umbi bagi sukan yang berpontensi mengharumkan nama Pahang juga perlu terus dijadikan perhatian serius oleh Kerajaan Pahang,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan perlunya intervensi menangani kos sara hidup belia.
“Kenaikan kos sara hidup mempengaruhi belia lebih daripada golongan lain. Namun tiada mekanisme bantuan langsung atau insentif sewaan rumah mampu milik untuk golongan muda diumumkan.
“Pemuda PAS menggesa diwujudkan geran sewa rumah belia M40 dan B40 selain inisiatif Rumah Rakyat Pahang dan beberapa lagi inisiatif seumpanya.
“Insentif pengangkutan untuk pelajar dan pekerja muda terutama bagi golongan M40 dan B40,” katanya.
Beliau berkata, belanjawan yang baik perlu disusuli pelaksanaan telus dan berkesan, termasuk laporan prestasi berkala bagi menilai keberkesanan peruntukan, terutama melibatkan anak muda.
“Dewan Pemuda PAS Pahang percaya bahawa masa depan negeri terletak pada kekuatan modal insan anak muda.
“Justeru, belanjawan negeri perlu lebih progresif, berani dan berpaksikan pembangunan jangka panjang belia, bukan sekadar intervensi bersifat kosmetik.
“Pemuda PAS bersedia untuk bekerjasama melalui sebagai entiti semak dan imbang dalam memberi cadangan mahupun pandangan konstruktif demi memastikan Pahang terus maju, makmur dan mesra belia,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











